SERDANG: Setiap agensi kerajaan berisiko rendah terlibat dalam gejala rasuah dan penyelewengan wang perlu mempunyai pelan pencegahan bagi membanteras jenayah tersebut daripada berleluasa di negara ini.

Penasihat Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata pelan sebegitu cukup penting sebagai langkah proaktif bagi memastikan isu governans, integriti dan rasuah dikendalikan secara pencegahan.

“Ia tindakan yang diambil sebelum sesuatu perkara berlaku.

“Saya mendapati banyak negara yang mempunyai tahap pencegahan yang tinggi adalah dibuat apabila mereka tidak menunggu sesuatu perkara untuk berlaku kerana ia dilakukan secara proaktif,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang pada Isnin.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Katanya lagi, gejala rasuah tersebut masih boleh berlaku di mana-mana agensi atau jabatan kerajaan memandangkan setiap agensi mempunyai peruntukan dana daripada kerajaan.

“Berisiko rendah bermakna terdapat kebarangkalian untuk gejala rasuah itu untuk berlaku, namun tidak setinggi.

“Mungkin pendedahan dia tidak sebesar dengan agensi kerajaan yang mempunyai risiko yang tinggi.

“Jadi saya ingin mengucapkan tahniah kepada MARDI kerana bertindak terlebih dahulu sebelum sebarang isu besar berlaku,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Roff berkata pihaknya akan membuat pemantauan daripada pelan yang telah dirangka selain mengadakan pertunjukan jalan di seluruh negara agar semua pekerjanya faham akan pelan berkenaan.