SAYA rasa buat pertama kali, ramai dikejutkan dengan operasi bersepadu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa agensi lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak, dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Operasi bersepadu dijalankan di Sarawak dan Sabah baru-baru ini.

Banyak pihak menyambut baik langkah ini. Mesej yang diterima menunjukkan operasi ini mendapat perhatian kebanyakan rakyat.

Kecuali ada sesetengah pihak yang melihat dari sudut yang berbeza. Ini lumrah. Kerana ada yang akan menyokong dan ada yang tidak menyokong tindakan tegas pihak berkuasa.

Menurut laporan media yang dibuat beberapa wakil rakyat pihak pembangkang, ada yang mendakwa tindakan SPRM membekukan akaun telah ditafsir oleh mereka ini sebagai menyalah guna kuasa dan menganiaya ahli perniagaan.

Dakwa mereka, ia bukannya satu langkah memerangi rasuah.

Tindakan ini sewajarnya dilakukan oleh SPRM sebagai dijadikan amaran tegas kepada mana-mana syarikat lain yang terlibat dalam industri pembalakan dan perkayuan di seluruh Malaysia bahawa SPRM serius dalam menangani gejala rasuah, pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta mereka yang cuba mengelak membayar cukai kerajaan.

BACA: Ops Gergaji: SPRM sita 1,785 balak, beku 519 akaun bernilai RM700 juta

Jika pembalakan haram tidak serius, tidak mungkin Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem juga meminta syarikat-syarikat pembalakan mengelak dari terlibat dalam pembalakan haram. Pendirian beliau telah ditegaskan pada tahun lalu.

Bertolak daripada pendirian tegas Ketua Menteri itu, pemilik-pemilik syarikat balak harus terus menjalankan aktiviti mereka secara sah dan lebih bertanggungjawab.

Konsesi balak yang diberikan seharusnya tidak disalah guna untuk kepentingan dan keuntungan sendiri yang telah mengakibatkan ketirisan dana kerajaan.

Mereka yang didapati bersalah mestilah dikenakan hukuman tegas yang setimpal. Ini termasuk menarik lesen dan disenarai hitam syarikat yang terbabit.

BACA: SPRM beku akaun Menteri Muda Sarawak bernilai RM4 juta

Tindakan ini juga membuktikan bahawa SPRM tidak berkompromi dengan jenayah rasuah.

Akaun dibekukan adalah bagi membolehkan aliran wang keluar masuk syarikat dapat disiasat dan dikenal pasti sekiranya terdapat sebarang unsur rasuah dan penyelewengan.

Sementara itu, ada Ahli Parlimen Parti Pembangkang menyifatkan tindakan SPRM sangat keterlaluan, wakil rakyat pembangkang terbabit juga menggesa agar SPRM menyiasat Menteri, Timbalan Menteri dan keluarga terdekat serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang kononnya pada pandangan wakil rakyat pembangkang didapati memilik harta kekayaan yang melampau.

BACA: Ops Gergaji: Biro pemantau Perkasa puji tindakan berani SPRM

Perkara ini sering kali dikaitkan oleh pihak pembangkang dan SPRM juga senantiasa menegaskan bahawa sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang rasuah, SPRM bertindak adil, bebas, telus dan profesional dalam menjalankan siasatan terhadap dakwaan kes-kes rasuah.

Jadi, mengapa menggesa SPRM menyiasat anggota pentadbiran dan keluarga mereka, tetapi tindakan ke atas ahli perniagaan dipertikai oleh pihak pembangkang? Saya amat terkejut dengan pendirian berat sebelah wakil rakyat daripada pihak pembangkang tersebut?

BACA: SPRM lancar Ops Gergaji cari pembalak elak cukai

Pada hemat saya SPRM sentiasa berpegang pada dasar akan meneliti dan menyiasat setiap aduan yang ada unsur rasuah.

SPRM juga tidak pernah bersikap selektif dan pilih kasih dalam menyiasat sesuatu kes berkaitan dengan rasuah di dalam negara kita.

Namun, saya berpendapat bahawa salah satu kekangan yang dihadapi SPRM adalah untuk menyiasat pemilikan kewangan dan harta individu yang mempunyai kekayaan yang berlebihan dan disyaki rasuah.

Walaupun ia seharusnya menjadi tanggungjawab pegawai atau kakitangan awam yang mempunyai gaya hidup yang nyata yang tidak sepadan dengan sumber pendapatan menerang dan mengisytihar tentang kekayaan mereka, namun SPRM tidak mempunyai kuasa untuk memaksa mereka berbuat demikian.

Satu kekangan yang dihadapi SPRM adalah untuk menyiasat pemilikan kewangan dan harta individu yang mempunyai kekayaan yang berlebihan dan disyaki rasuah
Justeru itu, pelbagai pihak telah menyarankan agar pindaan kepada peruntukan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 dibuat bagi membolehkan SPRM untuk memaksa individu mengisytiharkan aset mereka.

Yang terbaharu, sebuah badan bukan kerajaan National Oversight and Whistleblowers telah menggesa agar peruntukan ini dipinda.

Badan bebas yang memantau SPRM seperti Jawatankuasa Mengenai Rasuah dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah juga telah beberapa kali turut memberi saranan yang sama.

SPRM juga telah meminta supaya pindaan kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 juga perlu disegerakan. Ini adalah untuk memastikan bahawa penjawat awam tidak memanipulasi sebarang kelemahan yang terdapat dalam ketentuan undang-undang, khususnya yang melibatkan pemberian tender, kontrak, pemberian projek-projek kerajaan dan pemberian milik tanah.

Pindaan lain yang dicadang agar mememasukkan peruntukan mengenai salah laku penjawat awam dan korporat liabiliti bagi memerangi rasuah.

Sehubungan itu, adalah ditegaskan bahawa SPRM bertindak secara profesional sejajar dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Justeru, orang ramai perlulah memberi kerjasama dan menyokong usaha SPRM dalam membanteras rasuah.

Persepsi yang positif terhadap kewibawaan SPRM akan memudahkan usaha meraih sokongan dan kerjasama masyarakat dalam membanteras jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Datuk Irmohizam Ibrahim merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor dan ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, badan bebas memantau SPRM.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.