KUALA LUMPUR: 'Kepercayaan Kepada Tuhan' perlu dipasakkan di dalam diri masing-masing, bagi memastikan diri kita daripada terjebak melakukan perbuatan jahat, ini termasuklah perlakuan jijik rasuah.

Pendakwah, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat berkata, prinsip utama Rukun Negara itu perlu menjadi asas penting kepada masyarakat dalam menjalani rutin harian kehidupan.

Katanya, dengan meyakini ada yang memerhati dan melihat setiap perlakuan kita, perbuatan jahat dapat dielak kerana sedar bahawa setiap perlakuan dilakukan akan menerima balasan.

"Bercakap soal prinsip integriti ini kita kena pasakkan Kepercayaan Kepada Tuhan, yakin tuhan sedang memerhati dan sedang menilai kita.

"Bila kita sudah yakin, meskipun tiada yang nampak tapi yakin tuhan nampak perlakuan kita itulah yang sebaiknya, itulah integriti yang sebenarnya," katanya ketika menyampaikan syarahan pada Majlis Ilmu, Integriti dan Keberkatan Asas Kebahagian Dalam Kehidupan sempena program Klinik Integriti UMW Corporation Sdn. Bhd, di Menara UMW Kuala Lumpur pada Selasa.

Turut bersama dalam program berkenaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Rasuah Busters.

Dalam pada itu beliau mengingatkan, perlakuan rasuah akan menyebabkan kehidupan pelaku itu tidak akan tenang dan tenteram.

Katanya, kesenangan yang kononnya diperolehi menerusi perbuatan rasuah adalah 'kesenangan sementara yang memperdayakan', justeru adalah dituntut untuk semua masyarakat mengelak daripada perbuatan berkenaan.

"Mereka yang terlibat rasuah ini tidak akan tenteram selama-lamanya.

"Jangan lakukan kerja yang menyebabkan reputasi kita rosak, elak rasuah, percayalah cakap saya kesenangan yang dimaksudkan adalah kesenangan yang penuh tipu daya," katanya. - Sinar Harian