Rasuah perolehan projek Tentera Darat: Menteri Pertahanan buat kenyataan esok - Fahmi

Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan penjelasan lanjut akan dibuat secara langsung oleh Kementerian Pertahanan.
BANGI: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkaitan kes perolehan pertahanan pada Isnin.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan penjelasan lanjut akan dibuat secara langsung oleh Kementerian Pertahanan.
“Berkait dengan isu perolehan tadi, ada dimaklumkan bahawa Menteri Pertahanan akan membuat kenyataan esok,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Permukiman Kerajaan MADANI Tahun 2026 di Bangi pada Ahad.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah memulakan siasatan terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) sejak 2023.
Sehubungan itu, seorang bekas Panglima Tentera Darat direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan tender TDM.
Selain itu, dua isteri bekas PTD berkenaan turut direman antara tiga hingga enam hari bagi membantu siasatan kes yang sama.
Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat Permukiman Kerajaan MADANI Tahun 2026 turut menyentuh kepentingan kepimpinan Jemaah Menteri memastikan maklumat yang tepat disampaikan segera kepada rakyat.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh menunggu sehingga sesuatu isu menimbulkan persepsi yang salah sebelum bertindak memberikan penjelasan.
“Kita ada melihat secara keseluruhan, bukan satu isu secara khusus tetapi secara umum... kepentingan kepimpinan terutama anggota pentadbiran Jemaah Menteri segera memastikan maklumat yang tepat mengenai sesuatu perkara itu sampai, bukan untuk tunggu sehingga sesuatu isu itu menimbulkan persepsi yang salah,” katanya.
Fahmi berkata, beberapa pengalaman dalam kes sebelum ini turut dibangkitkan sebagai pengajaran, dan hasil perbincangan menunjukkan rata-rata anggota Jemaah Menteri memahami langkah yang perlu diambil untuk menangani sesuatu isu dengan tuntas.
“Jadi kita tidak bincangkan satu isu secara terlalu terperinci tetapi kita ambil prinsip bagaimana perlu kita atasi isu-isu dan masalah-masalah ini,” akhirinya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


