PUTRAJAYA: Pendengaran kes rayuan Peguam Diraja (OC) dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw, yang mahu diterima masuk sebagai peguam untuk mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes jenayah SRC International Sdn Bhd (SRC), yang dijadual Rabu ini, telah ditangguhkan.

Dalam surat yang dilihat Bernama, Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahyun Yusof, memaklumkan kepada pihak yang terlibat bahawa Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan peguam Laidlaw untuk menangguhkan pendengaran kes itu.

Beliau memaklumkan kepada pihak yang terlibat bahawa kes rayuan itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 22 Mac ini.

Mahkamah Persekutuan pada awalnya menetapkan Rabu ini untuk mendengar rayuan Laidlaw serta permohonan pendakwa raya dan tiga yang lain untuk membatalkan rayuan peguam dari UK itu.

Mahkamah juga menetapkan hari yang sama untuk mendengar permohonan pendakwa raya mendapatkan kebenaran mencelah dalam rayuan Laidlaw.

Sementara itu, peguam Badan Peguam Malaysia, Annemarie Pravina Vendargon, ketika dihubungi Bernama, berkata penangguhan itu diberikan berikutan permintaan peguam Laidlaw, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung permohonan semakan sabitan dan hukuman kes SRC terhadap Najib.

Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan 31 Mac ini untuk menyampaikan keputusannya dalam permohonanan bekas Perdana Menteri itu untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Annemarie berkata Badan Peguam Malaysia telah menyatakan kepada mahkamah bahawa mereka tidak melihat keperluan untuk rayuan Laidlaw ditangguhkan dan mereka bersedia untuk meneruskan pada hari Rabu ini.

Laidlaw memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara pada 21 Julai tahun lepas.

Pendakwa Raya, yang tidak dinamakan sebagai responden dalam rayuan Laidlaw, kemudian memfailkan permohonan untuk mencelah agar dimasukkan sebagai responden keempat atas alasan ia adalah pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi namun telah digugurkan secara unilateral dalam rayuan itu.

Melalui notis usul yang difailkan pada 18 Nov lalu, Pendakwa Raya turut memohon agar rayuan Laidlaw dibatalkan atas alasan ia bersifat akademik dan adalah penyalahgunaan proses mahkamah serta tidak dapat dipertahan.

Sementara itu, AGC, Badan Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur yang dinamakan sebagai responden, turut memfailkan permohonan masing-masing bagi membatalkan rayuan Laidlaw.

Pada 12 Okt tahun lalu, Muhammad Shafee berkata Laidlaw akan mewakili Najib pada pendengaran semula rayuannya jika permohonan semakan kehakiman beliau dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas beliau bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC pada 23 Ogos lalu.

-- BERNAMA