PUTRAJAYA: Pasukan pembelaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan pemilihan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali sewaktu mendengar perbicaraan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd antara 2018 hingga 2020.

Ketua Peguam Bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan bahawa, pemilihan hakim yang lebih berpengalaman dan berkebolehan amat diperlukan memandangkan kes tersebut diiktiraf sebagai ‘case of the century’.

Tambahnya lagi, Mohd Nazlan kurang berpengalaman kerana kes itu merupakan kes jenayah pertama yang beliau dengari selepas berpindah dari bahagian komersial pada tahun 2018, menggantikan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abdul Razak pada tahun yang sama.

“Kes ini merupakan kes terbesar abad ini (case of the century). Tetapi Sofian telah dikeluarkan, dan digantikan dengan Nazlan,” katanya sewaktu hari pertama prosiding rayuan Najib, di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Dua lagi anggota panel ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Has Zanah Mehat.

Sewaktu menyampaikan hujah rayuannya, Muhammad Shafee berkata, terdapat perbezaan antara penghakiman lisan Mohd Nazlan bertarikh 11 November, 2019, dengan alasan penghakiman bertulis (GOJ), dalam menentukan prima facie kes tersebut.

Beliau mendakwa, penghakiman lisan pada 11 November itu sepatutnya bersandarkan kepada rekod daripada bukti dan keterangan sewaktu prosiding awal, selaras dengan Seksyen 180 (3) Kanun Prosedur Jenayah, dibaca bersekali dengan Seksyen 180 (4) kanun yang sama.

[LAPOR LANGSUNG] SRC: Mahkamah Rayuan dengar rayuan Najib

Berpandukan segala penemuan sewaktu prosiding itu, Muhammad Shafee berkata, itulah yang sepatutnya diberi perhatian oleh pasukan pembelaan, bagi menimbulkan keraguan yang munasabah, sekali gus memastikan tidak ada prima facie dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, hujah Muhammad Shafee lagi, Mohd Nazlan telah menambah beberapa penemuan dalam penentuan prima facie, berdasarkan alasan penghakiman secara bertulis, yang diterbitkan pada awal September 2020.

“Penemuan dalam alasan penghakiman ini bukan penemuan yang dinyatakan oleh Hakim Mohd Nazlan sewaktu peringkat penutupan kes pendakwaan, di bawah Seksyen 180 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

“Penemuan dalam GOJ (sepatutnya) bertujuan untuk menambah apa yang seharusnya sudah menjadi penemuan yang dibuat oleh hakim setelah melakukan penilaian maksimum bukti yang ditambahkan dalam kes pendakwaan,” hujahnya lagi.

BACA: Panel tiga hakim tolak permohonan Najib tangguh proses rayuan sebulan

Penemuan-penemuan tambahan dalam alasan penghakiman itu, hujah Muhammad Shafee lagi, tidak dimaklumkan kepada mereka lebih awal.

Beliau berkata, ia sekaligus bersifat prejudis kepada usaha pihak Najib dalam menyediakan hujah pembelaan yang lebih tepat dan menyeluruh.

Dalam prosiding kes jenayah, kata Muhammad Shafee lagi, mahkamah perlu memberi manfaat keraguan kepada tertuduh, apatah lagi jika ia melibatkan kebebasan asasi individu berkenaan.

Mahkamah Tinggi pada 28 Julai, 2020, mendapati Najib bersalah ke atas kesemua tujuh pertuduhan melibatkan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.

Bekas Presiden UMNO itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.

Bagi tiga kesalahan pecah amanah dan tiga lagi kesalahan pengubahan wang haram, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun.

Perbicaraan bersambung esok.