Pengiktirafan ini diberikan kepada 30 individu di bawah umur 30 tahun yang mencipta impak besar dalam industri angkasa lepas global, dari membangunkan teknologi baharu hinggalah kepada merangka dasar untuk misi ke bulan.
Aphelia Space kini berada di barisan hadapan dalam inovasi kuasa tanpa wayar untuk aplikasi di angkasa lepas, termasuk projek-projek berkaitan misi ke bulan.
"Saya anggap anugerah ini sebagai pencapaian besar bukan untuk diri saya sahaja, tetapi untuk pasukan Aphelia juga yang menyokong dan berusaha gigih merealisasikan visi kami.
"Setinggi penghargaan juga kepada Pengasas Bersama, Matt Kamil, dan Penasihat Pakar, Sebastian Asprella, yang banyak membantu menjayakan impian ini," katanya dalam satu kenyataan di LinkedIn.
Tambah Razlan, mereka berdua bermula dengan sekadar buah fikiran untuk membuka potensi kuasa tanpa wayar di angkasa, dan kini, Aphelia berada di barisan hadapan dalam teknologi tersebut.
Tahun ini, senarai Payload Pioneers merangkumi pelbagai individu yang bekerja dalam pelbagai cabang industri angkasa, termasuk membangunkan perkakasan untuk membersihkan orbit, merangka dasar berkaitan misi angkasa, dan menginspirasikan generasi seterusnya dalam industri ini.
Ramai di antara mereka juga terlibat dalam program-program untuk meningkatkan kepelbagaian dalam sektor angkasa lepas.
"Pengiktirafan ini memberikan saya lebih dorongan untuk terus menyumbang kepada industri angkasa, baik di peringkat global mahupun di tanah air.
"Diharapkan juga ia dapat membuka lebih banyak peluang bagi Aphelia untuk terus membangunkan teknologi kuasa tanpa wayar bagi kegunaan angkasa lepas dan juga aplikasi di Bumi.," tambah Razlan yang kini berada di Milan untuk menghadiri Kongres Astronautik Antarabangsa (IAC) 2024.