Razman kekal Ketua Pembangkang DUN Perak, Speaker tak terima notis pertukaran

Razman ketika hadir pada Persidangan DUN Perak, 16 Apr 2025, sebelum digantung selama enam bulan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan pada 2 Dis 2024. --fotoBERNAMA
IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang tamat tempoh penggantungan bulan lalu, kekal sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Speaker DUN Perak Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, setakat ini beliau tidak menerima notis daripada pihak pembangkang mengenai sebarang pertukaran..
“Razman telah pun tamat tempoh penggantungannya pada bulan Oktober yang lepas dan dia akan kembali.
“Saya telah pun dimaklumkan, beliau kekal sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Negeri,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini
Pada April, Razman yang ketika itu Pesuruhjaya Pas Perak, digantung enam bulan daripada menghadiri Persidangan DUN selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember tahun lalu.
Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan palsu pada 2 Disember 2024 berhubung insiden membabitkan pengibaran bendera negara China di Teluk Intan.
Penggantungan itu dikuatkuasakan selepas majoriti ADUN bersetuju dengan usul menyokong laporan jawatankuasa berkenaan.
Pada September lalu, Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad dilantik menggantikan Razman sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


