KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam salah laku tadbir urus di Lembaga Tabung Haji (TH), susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, laporan RCI TH setebal 211 halaman itu mengandungi dapatan berkaitan isu tadbir urus, pengurusan kewangan serta pematuhan undang-undang yang didakwa berlaku dalam tempoh pentadbiran terdahulu.
"Laporan berkenaan mendakwa terdapat beberapa kelemahan tadbir urus secara sistemik antara 2014 hingga 2017, termasuk isu berkaitan pengurusan akaun dan pelaporan kewangan pada 2017, pembayaran hibah yang didakwa tidak mematuhi peruntukan undang-undang, pemberian bonus kepada kakitangan ketika institusi berdepan cabaran kewangan serta campur tangan politik dalam pelantikan jawatan tertinggi organisasi.
"Dapatan RCI menunjukkan pengurusan Tabung Haji ketika tempoh berkenaan melaporkan keuntungan walaupun institusi itu berdepan defisit sebenar.
"Selain itu, laporan berkenaan turut menyentuh isu nilai aset yang didakwa lebih rendah berbanding jumlah liabiliti serta cabaran kecairan yang dihadapi institusi tersebut," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Sehubungan itu, Armada menggesa agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam kenyataan sama, Armada turut menyambut baik keputusan kerajaan menyahsulit dan mendedahkan laporan RCI berkenaan kepada umum.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan ketelusan serta membolehkan rakyat dan pendeposit memahami isu yang dibangkitkan dalam laporan tersebut.
Pada Rabu, Jemaah Menteri bersetuju laporan siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai TH didedahkan dan dikelaskan semula serta laporan itu akan dibentangkan serta dibahaskan pada sidang khas Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.
Malaysia
RCI Tabung Haji: Armada Bersatu desak tindakan tegas
Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, laporan RCI setebal 211 halaman itu mengandungi dapatan berkaitan isu tadbir urus, pengurusan kewangan serta pematuhan undang-undang yang didakwa berlaku dalam tempoh pentadbiran terdahulu.