KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan sebuah badan khas bagi mengawal selia institusi yang menerima deposit atau menguruskan dana rakyat, kata Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin.
Beliau berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) seharusnya menjadi titik tolak untuk memperkasakan kerangka kawal selia institusi berkenaan.
Menurutnya, ia bukan sahaja melibatkan TH, tetapi juga Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan tabungan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Pada masa ini, kita tidak mempunyai satu kerangka kawal selia yang jelas dan menyeluruh untuk Institusi Kewangan Bukan Bank atau Non-Bank Financial Institution (NBFI).
“Sebaliknya, setiap institusi mempunyai akta masing-masing dan berada di bawah seliaan institusi dan kementerian berbeza,” katanya ketika membahaskan Laporan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat pada Selasa.
Radzi berkata, kegagalan mana-mana institusi berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada pendeposit, tetapi juga kepada kerajaan dan negara.
Sebagai contoh, beliau berkata kegagalan TH menyebabkan kerajaan perlu menanggung sukuk berjumlah RM27.8 bilion untuk menyelamatkan institusi tersebut.
Selain itu, katanya, mengambil kira sebahagian besar pelaburan institusi berkenaan adalah pelaburan dalam negara, sebarang kegagalan akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara.
Sehubungan itu, Radzi mencadangkan kerajaan mewujudkan sebuah agensi agensi pengawalseliaan kewangan khusus bagi mengawal selia institusi terbabit.
Beliau berpandangan cadangan RCI supaya pengurusan dana TH diselia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak mencukupi dan pendekatan lebih menyeluruh diperlukan.
“Apa akan berlaku sekiranya selepas ini berlaku kerosakan kepada LTAT atau KWAP sebagai contoh? Nak buat satu lagi RCI?
“Oleh itu, satu langkah yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan. Kerajaan boleh mengambil model agensi yang diwujudkan di Australia, iaitu Australia Prudential Regulation Authority (APRA) sebagai badan kawal selia untuk kesemua institusi yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Radzi turut merujuk pandangan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim yang menurutnya selari dengan cadangan tersebut mengenai sebuah “super-regulatory body” untuk mengawal selia institusi terbabit.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mengadakan perbincangan bersama Muhammad dan pakar-pakar kawal selia bagi membincangkan cadangan badan tersebut.
“Ayuh, kita ambil ruang ini untuk melaksanakan satu penyusunan semula kerangka kawal selia yang menyeluruh,” katanya.