KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyifatkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) perlu menjadi pemangkin kepada reformasi menyeluruh institusi itu, selain memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, dapatan RCI yang mendedahkan isu kelemahan tadbir urus, campur tangan politik, ketidakpatuhan dalam pengisytiharan agihan keuntungan serta pelaburan bermasalah tidak boleh dianggap sebagai kelemahan pentadbiran biasa.
Menurut beliau, isu berkenaan menyentuh soal amanah, integriti dan pertanggungjawaban terhadap sebuah institusi yang mengurus simpanan hampir 10 juta umat Islam di negara ini.
“TH bukan milik kerajaan atau pembangkang. Ia adalah amanah umat Islam Malaysia.
“Justeru, laporan RCI ini tidak seharusnya dijadikan senjata pertarungan politik kepartian, sebaliknya setiap dapatan perlu dinilai berdasarkan fakta, bukti, undang-undang dan prinsip keadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
ABIM turut menyambut baik tindakan susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat penemuan RCI tersebut.
Katanya, proses siasatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan tanpa memilih kedudukan atau latar belakang mana-mana pihak.
Pada masa sama, ABIM melahirkan kekesalan terhadap tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang keluar Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan laporan RCI Tabung Haji.
Menurut Ahmad Fahmi, Dewan Rakyat merupakan platform terbaik untuk mana-mana pihak mempersoalkan atau mencabar dapatan RCI sekiranya terdapat keraguan terhadap laporan atau penjelasan kerajaan.
“Semak dan imbang yang berkesan menuntut keberadaan, penghujahan dan keberanian berdepan fakta,” katanya.
ABIM turut menyokong cadangan memperkukuh Akta Tabung Haji 1995 termasuk menetapkan kriteria fit and proper bagi kepimpinan, mengelakkan pelantikan ahli politik aktif dalam lembaga pengarah serta memperketat pengawasan terhadap pengurusan dana dan pelaburan.
Menurut pertubuhan itu, RCI tidak boleh berakhir sekadar sebagai sebuah laporan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan, reformasi institusi dan usaha mengembalikan keyakinan pendeposit terhadap Tabung Haji.
“Perpaduan umat bukan bermaksud mempertahankan mana-mana individu apabila amanah dipersoalkan.
“Perpaduan sebenar ialah keberanian mempertahankan institusi umat, menegakkan kebenaran dan memastikan kesalahan yang sama tidak berulang,” katanya.