KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan tumpuan susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji perlu diberikan kepada reformasi institusi bagi memperkukuhkan tadbir urus dan akauntabiliti, bukannya dijadikan polemik politik.
Dalam kenyataan pada Khamis, MCW menyambut baik pendedahan laporan RCI itu yang disifatkan membuka ruang kepada penelitian awam terhadap tadbir urus salah sebuah institusi kewangan Islam terpenting negara.
"Dapatan RCI menunjukkan isu yang dibangkitkan bukan sekadar melibatkan dakwaan penyelewengan, sebaliknya merangkumi campur tangan politik, kelemahan tadbir urus, konflik kepentingan, struktur pelaburan yang tidak berkesan serta keperluan memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang.
"Laporan itu turut menunjukkan kelemahan tadbir urus berlaku merentasi tempoh pentadbiran yang berbeza dan tidak seharusnya dilihat melalui lensa kepartian.
"Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai kegagalan sistem yang memerlukan pembaharuan institusi secara menyeluruh," menurut kenyataan itu, pada Khamis.
MCW turut berpandangan, amanah mengurus dana umat seperti Tabung Haji perlu diserahkan kepada individu yang mempunyai integriti, profesionalisme dan kepakaran serta bebas daripada sebarang pengaruh politik.
Sehubungan itu, badan pemantau rasuah berkenaan menyokong cadangan RCI supaya ahli politik yang masih aktif tidak lagi dilantik menganggotai Lembaga Tabung Haji.
"Cadangan itu wajar dipertimbangkan untuk diperluaskan kepada institusi kewangan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun lain yang menguruskan dana awam," ujarnya.
MCW menegaskan, kejayaan sebenar hasil pendedahan RCI itu bukan diukur berdasarkan keuntungan politik mana-mana pihak, sebaliknya, melalui kesungguhan negara melaksanakan reformasi institusi, memperkukuhkan akauntabiliti serta memastikan amanah rakyat diurus secara telus, profesional dan bebas daripada campur tangan politik.
Malaysia
RCI Tabung Haji: MCW gesa reformasi institusi, tiada lantikan politik di GLC, GLIC dan badan berkanun
MCW menyambut baik pendedahan laporan RCI itu yang disifatkan membuka ruang kepada penelitian awam terhadap tadbir urus salah sebuah institusi kewangan Islam terpenting negara.