Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Muhyiddin gesa sidang khas RCI dilanjutkan dua hari

Muhyiddin Yassin, Bersatu, manifesto_Astro AWANI
Muhyiddin Yassin gesa kerajaan melanjutkan tempoh Sidang Khas Parlimen bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan melanjutkan tempoh Sidang Khas Parlimen bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji sekurang-kurangnya dua hari.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Muhyiddin berkata sidang khas yang dijadualkan berlangsung pada 11 Ogos 2026 itu wajar dipanjangkan bagi memberi ruang kepada lebih ramai Ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian dalam perbahasan.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi membolehkan hujah yang bernas dan substantif dikemukakan demi menambah baik pengurusan, tadbir urus serta prestasi Tabung Haji sebagai institusi utama yang menguruskan pelaburan dan urusan ibadah haji umat Islam di Malaysia.

"Saya mengalu-alukan keputusan Kerajaan untuk mendedahkan Laporan RCI Tabung Haji.

"Pendedahan laporan ini memberikan peluang kepada rakyat untuk mengetahui dan menilai dapatan-dapatan suruhanjaya secara telus dan adil.

"Terdapat beberapa aspek laporan tersebut yang perlu dijelaskan secara lebih lanjut oleh Kerajaan," katanya. 

Antara yang dibangkitkan ialah laporan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah yang didakwa menyebabkan Tabung Haji menanggung kerugian berbilion ringgit.

Sehubungan itu, beliau berharap sidang khas berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI dibahas secara menyeluruh di Parlimen.

Terdahulu, media melaporkan, Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung laporan RCI TH akan berlangsung pada 11 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi khas itu diadakan pada tarikh ber­kenaan selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

 

Must Watch Video

Advertisement