Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Pelaburan dalam Putrajaya Perdana heret TH dalam urus niaga 1MDB, rugi RM145.3 juta

41734605375_TBtabunghajijp.jpg
TH juga telah membeli tanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB ketika kontroversi sedang memuncak. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam Putrajaya Perdana Bhd (PPB) serta meletakkan Pengerusi TH ketika itu sebagai pengerusi Putrajaya Perdana, mengheret TH dalam urus niaga 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga TH mengalami kerugian RM145.3 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata Putrajaya Perdana antara 14 pelaburan bermasalah yang dikaitkan dengan kerugian menjangkau berbilion ringgit TH seperti yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Selain itu, beliau berkata TH juga telah membeli tanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB ketika kontroversi sedang memuncak. 

"Persoalan besar timbul apabila Ketua Pegawai Eksekutif TH juga merupakan ahli lembaga pengarah 1MDB. Adakah pelaburan ketika itu untuk kepentingan TH, atau menyelesaikan masalah pihak lain?," kata beliau.

Zulkifli berkata demikian pada sesi penerangan menteri mengenai Laporan RCI berkenaan dan usaha serta tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi tersebut, pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penyenaraian FGV Holdings yang didendang sebagai kejayaan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar negara dengan mengumpul lebih RM10 bilion, turut memberi kesan kepada TH setelah kemudiannya berhadapan kerugian lebih RM1 billion.

"Ketika harga saham menjunam, TH terus memegang saham walaupun nilainya jatuh lebih 80 peratus dan hanya membuat perubahan dasar rosot nilai untuk ‘sorok’ dan mengaburi kerugian,”  katanya.

Zulkifli berkata memandangkan kedudukan kewangan TH kini telah kembali kukuh, institusi itu telah mengambil alih semula tanah di TRX yang dijual pada nilaian RM400 juta pada 2018, yang kemudiannya dibeli semula oleh TH pada harga RM270 juta berdasarkan nilai pasaran semasa.

Selain itu, TH turut mengambil alih ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd yang dijual pada nilaian RM800 juta, yang kemudiannya dibeli semula tahun ini pada nilai pasaran semasa RM695 juta (termasuk tunai RM115 juta, iaitu Enterprise Value sekitar RM580 juta).

Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman itu didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan berkenaan turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Januari 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudianya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video

Advertisement