KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghantar sepasukan pegawai penyiasat ke bangunan Tabung Haji (TH) untuk memulakan siasatan berkaitan susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, mereka adalah sebahagian daripada pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi meneliti dan menyiasat isu-isu yang dibangkitkan dalam RCI itu.
"Pasukan penyiasatan telah mula (siasatan) pagi ini bagi mengenal pasti dokumentasi berkaitan dengan perkara yang dinyatakan dalam RCI tersebut serta perkara-perkara yang berhubung kait dengan penyiasatan kami.
"Di peringkat ini, pihak kami akan mengenal pasti atau cuba mengesan individu-individu yang bakal dipanggil.
"Kita akan saring dan teliti senarai itu sebelum diklasifikasikan mengikut aturan untuk dirakam kenyataan mereka," katanya dalam satu sidang media khas, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, tindakan itu diambil selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar agensi penguat kuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap laporan RCI yang dikeluarkan pada Rabu.
Mengulas mengenai skop siasatan, Abdul Halim menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengehadkan tempoh masa tertentu, sebaliknya siasatan akan dibuat secara menyeluruh berdasarkan penemuan dan cadangan yang diutarakan dalam laporan RCI tersebut.
Beliau menegaskan fokus utama siasatan adalah di bawah ruang lingkup Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.
"Siasatan kami akan memfokuskan kepada usaha meneliti sama ada wujud sebarang unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan yang berlaku.
"Apa sahaja dokumen yang dirasakan berkaitan dengan perkara yang disiasat akan diambil untuk dikaji dan diteliti bagi membuat suatu penemuan atau rumusan," tambah beliau.
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab terhadap kerugian TH berdasarkan penemuan laporan RCI yang didedahkan itu akan dibawa ke muka pengadilan.
Beliau berkata, sebarang unsur penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa yang dikenal pasti akan disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM dan Bank Negara.
Krisis kewangan TH yang bermula dengan isu ketidakpadanan aset dan liabiliti membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar, sebelum disusuli penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit bagi tempoh 2014 hingga 2020.