Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji syor larang ahli politik aktif sertai Lembaga

📸 Ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (Menara TH Tun Razak) — one of the most unique buildings in KL, designed by Malaysian architect Hijjas Kasturi. (December 2023) 📍 Pedestrian bridge over Jalan Tun Razak near Menara Tan & Tan
RCI Tabung Haji mengesyorkan reformasi menyeluruh termasuk melarang ahli politik aktif menganggotai Lembaga TH dan anak syarikatnya, meminda Akta Tabung Haji 1995, menubuhkan badan penasihat bebas serta mengehadkan konflik kepentingan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan ahli politik aktif dilarang daripada dilantik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga TH serta anak syarikatnya sebagai sebahagian daripada reformasi menyeluruh tadbir urus institusi berkenaan. 

Dalam laporan setebal hampir 200 muka surat yang diterbitkan hari ini, Suruhanjaya berpandangan penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat selain membuka ruang kepada persepsi campur tangan politik dalam beberapa keputusan penting institusi itu. 

RCI berkata struktur sedia ada TH wajar dikekalkan, namun pelbagai kelemahan yang dikenal pasti dalam aspek tadbir urus, kawal selia, pelaburan dan pengurusan dana memerlukan penambahbaikan segera.

Menurut laporan itu, Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) memberi kuasa yang terlalu luas kepada Menteri, termasuk berkaitan pelantikan dan penamatan anggota Lembaga, pengurusan dana serta kelulusan pelaburan. 

Sehubungan itu, Suruhanjaya mengesyorkan Akta 535 dipinda bagi menetapkan kriteria lebih ketat kepada individu yang layak dilantik sebagai anggota Lembaga, termasuk mempunyai pengalaman dalam bidang kewangan, ekonomi, perbankan, perniagaan, syariah atau perakaunan.

RCI turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa atau badan penasihat bebas bagi mencadangkan pelantikan anggota Lembaga dan Ketua Pegawai Eksekutif, selain menilai sebarang cadangan penamatan perkhidmatan mereka.

Di bawah model yang dicadangkan, urusan pengurusan haji akan terus diletakkan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala aspek kewangan, dana dan pelaburan diselia Menteri Kewangan.

Pada masa sama, Suruhanjaya mengesyorkan penglibatan anggota Lembaga dan pengurusan tertinggi TH dalam anak syarikat dihadkan bagi mengelakkan konflik kepentingan serta memastikan mereka memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama dalam organisasi berkenaan.

RCI turut mencadangkan Jawatankuasa Urusan Haji, Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Panel Pelaburan dikanunkan secara khusus di bawah Akta 535 bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalam pengurusan TH.

Dari sudut pelaburan, Suruhanjaya menggesa audit forensik dilaksanakan terhadap beberapa pelaburan yang mengalami kerugian atau penyusutan nilai ketara termasuk TH Indo Plantations, TH Properties, TH Plantations, FGV Berhad dan Putrajaya Perdana Berhad.

Menurut RCI, TH juga perlu memberi tumpuan kepada fungsi teras sebagai pengurus dana dan institusi pengurusan haji, serta mengelakkan penglibatan dalam pelaburan berisiko tinggi yang boleh menjejaskan kedudukan kewangannya pada masa hadapan.

Suruhanjaya menegaskan reformasi tadbir urus perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan TH dapat beroperasi secara profesional, telus dan bebas daripada campur tangan politik, sekali gus mengekalkan keyakinan pendeposit terhadap institusi itu.

Untuk rekod, RCI Tabung Haji ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 susulan beberapa penemuan yang dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara serta firma perunding PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger. 

Suruhanjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, bersama lima lagi pesuruhjaya yang dilantik Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan 2022. 

RCI diberikan tempoh enam bulan untuk menjalankan siasatan sebelum menyiapkan laporan akhirnya pada 19 Julai 2022 dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos tahun sama. 

 

Must Watch Video

Advertisement