KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan proses pembelian Putrajaya Perdana pada 2014 ketika syarikat itu dikaitkan dengan kawalan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low melalui UBG Bhd.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkara itu berdasarkan keterangan bersumpah Pengarah Putrajaya Perdana, Datuk Rosman Abdullah, yang direkodkan dalam prosiding mahkamah kes SRC International.
Menurutnya, Rosman dalam keterangannya menyatakan proses penjualan Putrajaya Perdana oleh UBG ketika itu masih belum selesai dan syarikat berkenaan terus berada di bawah kawalan Jho Low melalui UBG Bhd.
“SRC International telah menyalurkan RM170 juta kepada anak syarikat Putrajaya Perdana dalam tiga peringkat antara Julai dan Ogos 2014.
“Keterangan beliau sebagaimana direkodkan di mahkamah selagi jualan syarikat itu oleh UBG sebelum selesai dan ia hanya selesai pada 13 April 2019. Putrajaya Perdana terus berada di bawah kawalan Jho Low melalui UBG.” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam tempoh sama Amir Hamzah berkata, rekod penilaian fakta pada 2023 menunjukkan Panel Pelaburan TH pada 24 Julai 2014 telah meminta pihak pengurusan mengenal pasti identiti pemegang saham muktamad pihak yang menjual Putrajaya Perdana.
Bagaimanapun tegas Amir Hamzah, penilaian berkenaan tidak merekodkan sebarang jawapan daripada pihak pengurusan mengenai perkara itu dan proses jual beli tetap diteruskan.
“Berdasarkan rekod keterangan bersumpah, ketika Putrajaya Perdana berada di bawah kawalan Jho Low, ketika itulah Panel Pelaburan, Lembaga dan Menteri meluluskan pembelian serta perjanjian jual beli,” jelasnya.
Amir Hamzah bagaimanapun menyatakan mahkamah tidak membuat sebarang dapatan bahawa Putrajaya Perdana berada di bawah kawalan Jho Low.
Sebaliknya, perkara itu kekal sebagai keterangan bersumpah yang direkodkan dalam prosiding mahkamah.