Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: 'Walkout' tidak bertanggungjawab, Ahli Parlimen patut guna peluang teliti fakta - Zulkifli

KUALA LUMPUR, 12 Ogos -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menyampaikan ucapan perasmian Program Multaqa Shariah Intelektual Discourse Islamic Finance (SIDR 2026) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Zulkifli erkata semua Ahli Parlimen sepatutnya bersama-sama mengambil bahagian dalam membahas, mengupas dan mengemukakan pertanyaan dalam mencari penyelesaian terbaik bagi isu TH. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Tindakan blok pembangkang meninggalkan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ketika sesi penerangan mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) Isnin lepas adalah tidak bertanggungjawab, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Beliau berkata semua Ahli Parlimen, tidak kira daripada pihak mana, sepatutnya bersama-sama mengambil bahagian dalam membahas, mengupas dan mengemukakan pertanyaan dalam mencari penyelesaian terbaik bagi isu TH.

“Apabila ada Ahli Parlimen yang keluar tidak mahu membahaskan, maka saya merasakan itu bukanlah satu tindakan yang bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini.

Ketika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berlangsung Isnin lepas, blok pembangkang bertindak keluar dan tidak mengambil bahagian dalam sesi penerangan berkenaan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul untuk meneruskan sesi itu tanpa kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum itu mencadangkan supaya mesyuarat khas berkenaan ditangguhkan susulan ketidakhadiran Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang masing-masing sedang menerima rawatan akibat masalah kesihatan.

Selain itu, Zulkifli berkata pihak berkuasa perlu diberi ruang untuk meneruskan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang susulan pendedahan laporan RCI TH itu.

“Kita perlu hormati proses undang-undang supaya dapat dilaksanakan sebaiknya untuk kemaslahatan semua,” katanya.

Zulkifli juga berkata pihaknya belum menerima maklumat mengenai dakwaan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad bahawa beliau tidak dipanggil memberikan keterangan dalam prosiding RCI walaupun hadir pada tarikh yang ditetapkan.

“Sekarang ini saya tidak dapat apa-apa maklumat berkenaan perkara tersebut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Madinah, yang merupakan Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019, berkata beliau hadir di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tarikh dan masa yang ditetapkan untuk memberi keterangan, namun tidak dipanggil walaupun menunggu lebih 30 minit.

Zulkifli juga berkata cadangan pindaan menyeluruh terhadap Akta Tabung Haji 1995 termasuk aspek had kuasa menteri dan pengerusi TH sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan untuk memastikan akta tersebut menyediakan kerangka tadbir urus terbaik untuk masa depan TH.

"Nanti kita akan bentangkan (pindaan Akta Tabung Haji 1995) di Parlimen untuk diluluskan, tetapi sebelum itu perlu mendapat persetujuan daripada Kabinet,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement