Skip to main content

Malaysia

RCI TH: Bekas pengurus THP Bina didakwa pecah amanah RM72,000 projek pembangunan kompleks pejabat

KUALA LUMPUR: Lebih 26,000 surat tawaran haji bagi musim 1447H/2026 telah dikeluarkan Lembaga Tabung Haji (TH), selepas bakal jemaah memenuhi syarat simpanan minimum RM15,000 dalam akaun masing-masing, kata Ketua Jabatan Haji Mohd Hisham Harun.
THP Bina Sdn Bhd ialah syarikat anak syarikat milik penuh TH Properties Sdn Bhd (yang merupakan anak syarikat Lembaga Tabung Haji).
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah wang hasil kutipan penalti berjumlah RM72,000, membabitkan projek cadangan pembangunan kompleks pejabat di Putrajaya.

Nasahruddin Ahmad, 56, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

THP Bina Sdn Bhd ialah syarikat anak syarikat milik penuh TH Properties Sdn Bhd (yang merupakan anak syarikat Lembaga Tabung Haji), berfokus dalam bidang pembinaan dan pengurusan projek.

Nasahruddin sebagai Pengurus Keselamatan dan Kesihatan syarikat itu yang diamanahkan wang hasil kutipan penalti ke atas kontraktor iaitu syarikat Fourth Wave Sdn Bhd berjumlah RM72,000, didakwa melakukan pecah amanah dengan memasukkan wang tersebut ke dalam akaunnya.

Wang hasil kutipan penalti itu membabitkan projek cadangan pembangunan kompleks pejabat di Presint 3 Wilayah Persekutuan, Putrajaya di atas PT 12081: Blok A -10 tingkat pejabat, Blok B – sembilan tingkat pejabat, Auditorium dan tiga tingkat  tempat letak kereta di aras bawah tanah; PT 12075: Blok C – tujuh tingkat pejabat dan dua tingkat tempat letak kereta di aras bawah tanah; PT 12074 : Blok D – sembilan tingkat pejabat dan dua tingkat tempat letak kereta di aras bawah tanah untuk Tetuan THP Bina Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3, Putrajaya antara 26 April 2013 hingga 12 Ogos 2015, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Rosli membenarkan Nasahruddin diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin atas semua tiga pertuduhan, berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 5 Okt, untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras berkata kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin, namun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan.

“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM70,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

“Pihak pendakwaan turut mencadangkan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran pada setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu atau menghubungi mana-mana saksi yang berkemungkinan terlibat dalam kes berkenaan,” katanya.

Peguam Muhammad Naqib Aiman Mohd Faizal mewakili Nasahruddin berkata jaminan RM70,000 yang dicadangkan pihak pendakwaan itu tinggi, memandangkan anak guamnya yang berniaga kedai makan dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan, menanggung empat anak berusia antara 21 hingga 26 tahun selain mempunyai penyakit darah tinggi serta slipped disc.

“Anak guam saya tidak ditangkap bagi kes berkenaan, sebaliknya hadir sendiri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Putrajaya dan memberikan kerjasama penuh kepada agensi itu serta telah diberikan jaminan sebanyak RM10,000.

“Anak guam dan keluarganya yang menetap di Bukit Tinggi, Klang dan merupakan warganegara Malaysia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri, namun tertuduh tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah,” katanya.

Selain itu, Muhammad Naqib Aiman berkata beliau dimaklumkan bahawa walaupun kes itu melibatkan Tabung Haji, namun ia tidak melibatkan wang masyarakat tetapi wang private iaitu wang saman terhadap pihak kontraktor.

“Sehubungan dengan itu, berdasarkan alasan-alasan yang diberikan, saya mohon jaminan yang paling minima diberikan kepada tertuduh,” katanya.

Sementara itu, di hadapan Hakim Azura Alwi bekas Timbalan Pengurus Besar TH Properties Sdn Bhd yang juga bekas Timbalan Pengurus Besar THP Bina Sdn Bhd Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat melakukan perbuatan sama di tempat dan masa sama.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki itu didakwa bersubahat dengan mengarahkan Nasahruddin untuk memasukkan wang berjumlah RM72,000 tersebut dalam akaun banknya (Nasahruddin).

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama-sama Seksyen 409 kanun sama.

Irna Julieza menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua tiga pertuduhan berserta syarat tambahan sama seperti yang dimohon bagi kes Nasahruddin.

Muhammad Naqib Aiman yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya yang kini bekerja sebagai peniaga, menanggung enam orang anak berusia antara 13 dan 29 tahun.

Hakim Azura membenarkan Tengku Kamarolhisham diikat jamin RM45,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 5 Okt untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, SPRM telah memperoleh perintah reman terhadap 11 individu bagi membantu siasatan kes mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Antara yang telah direman termasuk bekas pengerusi TH, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO), bekas menteri, serta beberapa pengurusan kanan dan individu berkait syarikat berkaitan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement