MALAYSIA
Redakan ketegangan sempadan Thailand-Kemboja, diplomasi ASEAN pada tahap terbaik

Perdana Menteri Anwar telah bertindak cemerlang dan tanpa berlengah mengutamakan ASEAN serta berjaya mempengaruhi negara anggota lain untuk berbuat demikian. - Gambar Reuters
PUTRAJAYA: Ketegangan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja berjaya diredakan melalui semangat kerjasama serantau dan tindakan diplomatik pantas di bawah rangka kerja ASEAN.
Gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat yang dipersetujui kedua-dua negara menandakan kejayaan besar diplomasi ASEAN, dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan penting dalam meredakan situasi yang berisiko mencetuskan konflik ketenteraan berskala penuh.
Pakar Hubungan Antarabangsa daripada Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Muhammad Fuad Othman menyifatkan, perkembangan itu sebagai kejayaan diplomasi yang besar bagi rantau ini.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertindak cemerlang dan tanpa berlengah mengutamakan ASEAN serta berjaya mempengaruhi negara anggota lain untuk berbuat demikian," katanya kepada Bernama.Beliau berkata, Malaysia sekali lagi membuktikan kepada dunia kemampuannya mengekalkan keamanan dan keselamatan, bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga berpotensi di peringkat global.
Sebagai Pengerusi ASEAN, beliau berkata, Perdana Menteri telah bertindak tegas dengan menghulurkan jasa baik beliau untuk meredakan ketegangan sebelum ia berlarutan menjadi konflik terbuka.
"Dengan sokongan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, diharapkan kedua-dua pihak akan mematuhi sepenuhnya gencatan senjata itu tanpa syarat," katanya.
Beliau menegaskan, hasil yang dicapai mencerminkan diplomasi ASEAN pada tahap terbaik, yang dicirikan oleh kekuatan senyap, perpaduan serantau dan komitmen tidak berbelah bagi terhadap keamanan.
"Rantau ASEAN telah menikmati keamanan relatif sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua dan khususnya selepas era Perang Dingin, sekali gus meletakkan asas bagi pertumbuhan ekonomi dan kestabilan jangka panjang.
"ASEAN tidak mampu untuk terjebak dalam konflik dalaman dalam kalangan ahlinya kerana ia boleh menjejaskan kemajuan berdekad lamanya yang dibina atas asas saling menghormati dan mematuhi amalan Cara ASEAN," katanya.
Beliau berkata, tindakan pantas dan berprinsip yang ditunjukkan Malaysia di bawah kepimpinan Anwar mengukuhkan nilai teras ASEAN dan menghantar mesej jelas bahawa ASEAN tidak akan membiarkan perpecahan dalaman menggugat perpaduan blok itu.
Sementara itu, Profesor Madya Benny Teh Cheng Guan daripada Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) menyifatkan, pencapaian ini sebagai satu perkembangan penting dan positif bagi diplomasi serantau.
Selaku Pengerusi ASEAN, beliau berkata, Malaysia telah "menggalas tanggungjawab" dengan menawarkan jasa baiknya mengantara isu berkenaan.
"Ini adalah satu langkah positif. Hakikatnya Thailand dan Kemboja memilih untuk bertemu di Putrajaya dan bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat mencerminkan penghormatan mereka terhadap peranan kepimpinan Malaysia serta kesediaan mereka menyelesaikan perbezaan dalam semangat ASEAN," katanya.
"Saya percaya usaha berterusan Malaysia turut mencerminkan keperluan untuk menunjukkan ASEAN yang bersatu dan mampu menyelesaikan konflik dalaman secara kendiri.
Jika gencatan senjata ini dapat dikekalkan dan diplomasi terus diberi keutamaan, ia pasti menjadi pencapaian besar bagi kepengerusian Malaysia," katanya.
Beliau berkata, kejayaan ini juga akan mengukuhkan keupayaan ASEAN dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau dari dalam.
Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja tercetus dengan insiden tembak-menembak singkat pada 28 Mei sebelum memuncak kepada konflik bersenjata pada 24 Julai.
Setakat 26 Julai, pertempuran itu telah meragut sekurang-kurangnya 32 nyawa dan memaksa sehingga 200,000 penduduk berpindah dari kawasan sempadan terjejas.
Namun, usaha berterusan untuk meredakan krisis akhirnya membuahkan hasil melalui rundingan secara bersemuka di Putrajaya pada Isnin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami