Reformasi Kerenah Birokrasi dorong lonjak produktiviti sektor awam dan swasta - MPC

Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 bertujuan memperkukuh usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing negara melalui pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, selari dengan kerangka Program Rancakkan MADANI. - Foto MPC
PUTRAJAYA: Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 berlangsung di sini pada 5 hingga 7 Dis lalu, dengan matlamat memperkukuh usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
Ringkasan AI
- Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 diadakan dengan anjuran bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, Jabatan Perkhidmatan Awam, dan Perbadanan Produktiviti Malaysia untuk memperkukuh usaha meningkatkan produktiviti negara serta melaksanakan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam. Ia turut menyaksikan peluncuran tiga dokumen penting yang menitikberatkan reformasi perkhidmatan awam.
- Sidang Pleno Tertutup yang diadakan dalam konvensyen menegaskan kesungguhan kerajaan dalam memperhebat agenda reformasi perkhidmatan awam melalui pendekatan whole of government dengan kehadiran hampir 2,000 peserta dari pelbagai sektor sokong usaha tersebut.
- Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang diperkenalkan oleh MPC membantu meningkatkan produktiviti negara dengan pendekatan sistematik, berasaskan data, dan disokong teknologi kecerdasan buatan. Kejayaan program ini turut menjimatkan kos hingga RM2.01 bilion setahun serta menyumbang kepada peningkatan taraf birokrasi negara.
Ia merangkumi Pekeliling ILTIZAM, Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam, Modul ARPA dan Buku MALAYSIA MERDEKA yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuh tadbir urus, dan membentuk visi negara yang lebih progresif.
Salah satu agenda utama konvensyen ialah Sidang Pleno Tertutup yang dihadiri oleh kepimpinan tertinggi pentadbiran di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Sidang ini merupakan susulan kepada Deklarasi Kuala Lumpur: Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia 2024.
Ia menegaskan kesungguhan dan komitmen bersama dalam memperhebat agenda reformasi perkhidmatan awam agar diterjemahkan secara menyeluruh melalui pendekatan whole of government.
Konvensyen ini turut mencatat kehadiran hampir 2,000 peserta, meliputi penjawat awam, pihak industri, golongan akademia dan pertubuhan bukan kerajaan, yang bersama-sama menyokong usaha memperkukuh agenda reformasi perkhidmatan awam dan produktiviti negara.
Pada majlis sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan penghormatan kepada penjawat awam atas komitmen tidak berbelah bahagi dalam mendukung aspirasi Ekonomi MADANI dan menyeru agar mereka terus kekal komited demi merealisasikan impak MADANI secara menyeluruh.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Fadillah Yusof menegaskan, pembangunan Malaysia perlu berteras kepada semangat Segulai Sejalai yang bermaksud berjalan seiringan bagi mencerminkan kesepakatan seluruh rakyat melalui pendekatan whole of nation untuk memastikan kemajuan negara dipacu secara berterusan.
Berucap selaku ahli panel forum Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB): Analisis Pencapaian dan Islah Berterusan yang diadakan sempena konvensyen pada Sabtu, Ketua Pengarah MPC Datuk Zahid Ismail berkata, peningkatan produktiviti negara tidak dapat dicapai tanpa reformasi peraturan yang komprehensif dan berfokuskan keberhasilan.
Reformasi ini penting bagi menyokong matlamat Ekonomi MADANI untuk berada dalam kelompok 12 negara paling berdaya saing dunia menjelang 2030, serta mencapai sasaran pertumbuhan produktiviti 3.6 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
MPC kekal komited membantu sektor awam dan industri memperkukuh reformasi produktiviti melalui pendekatan yang lebih sistematik, berasaskan data, dan disokong oleh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Reformasi produktiviti hanya dapat dicapai apabila sektor awam dan swasta bekerjasama sebagai rakan strategik dalam agenda pembangunan negara, dengan penggunaan AI sebagai pemangkin utama untuk melonjakkan produktiviti,” tambah Zahid.
Pendekatan ini diterapkan melalui program RKB bagi memastikan peraturan yang digubal berkualiti, mencapai objektif dasar, serta tidak membebankan peniaga dan rakyat dengan kos yang tidak wajar.
Melalui program RKB, MPC akan terus menyediakan khidmat nasihat, bimbingan dan koordinasi kepada pengawal selia di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan peningkatan produktiviti dapat dilaksanakan secara menyeluruh, berkesan dan mampan.
Program ini juga mencerminkan komitmen MPC dalam menyokong ARPA ke arah membentuk perkhidmatan awam bertaraf dunia.
Penglibatan seluruh kementerian dan negeri dalam projek RKB membuahkan hasil apabila Malaysia kini menduduki tangga ke-23 dalam Kedudukan Daya Saing IMD.
Zahid berkata, kejayaan RKB terletak pada kemampuannya menjimatkan kos bagi sektor awam dan swasta, terutamanya apabila masa pelaksanaan dan proses birokrasi dapat dipendekkan.
Menurutnya, penjimatan masa melalui inisiatif RKB juga dapat merealisasikan kos pematuhan.
Untuk rekod, sebanyak 323 projek telah disiapkan sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2024, daripada 1,007 projek yang didaftarkan di seluruh negara - usaha tersebut berjaya menjimatkan RM2.01 bilion setahun.
Zahid berpendapat, kejayaan ini turut menyumbang kepada taraf birokrasi negara yang telah melonjak daripada 37 kepada 14 anak tangga.
Mengambil contoh dua projek industri di Kulim dan Kulai yang mencatat pertumbuhan pelaburan dan pembangunan pesat, Zahid berpandangan ia menunjukkan impak positif RKB terhadap ekonomi tempatan.
“Di Kulim, ia (RKB) telah mempercepatkan proses dari tiga tahun kepada 10 bulan. Menurut tinjauan kita, orang ramai yang tinggal di kawasan tersebut mengatakan pembangunan berjalan sangat pantas,” katanya lagi.
Untuk rekod, MPC memainkan peranan memandu kementerian dan agensi mengenal pasti serta memperbaiki proses birokrasi, sambil membimbing pelaksanaan projek RKB secara lebih efisien.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


