BANGKOK: Reka bentuk awal jajaran jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand dijangka siap pada November ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Malaysia melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksanakan kerja-kerja awalan di tapak yang merangkami kerja ukur, kerja penyiasatan tapak dan kajian trafik.

"Mesyuarat Kumpulan Kerja Pakar Malaysia-Thailand yang seterusnya dijangka diadakan pada Disember bagi pengesahan reka bentuk pada titik sempadan kedua-dua buah negara," katanya kepada Bernama.

Usaha mempercepatkan rundingan jajaran jalan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao dipersetujui Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya di Thailand, Prayuth Chan o-cha pada Februari lepas.

Pembangunan infrastruktur di sempadan Malaysia-Thailand dilihat dapat merancakkan perdagangan memandangkan hampir 50 peratus perdagangan dua hala Malaysia-Thailand tertumpu di kawasan sempadan.

Malaysia dan Thailand menyasar perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion (RM132 billion) menjelang 2025.

Bagi Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok yang diluluskan dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Fadillah berkata Pengurusan Nilai (VA) bagi projek itu telah dilaksanakan dari 18 hingga 22 Julai di Kota Bharu, Kelantan.

"Mesyuarat Teknikal Bersama Malaysia-Thailand bagi projek ini telah diadakan sebanyak dua kali iaitu pada 13 Disember tahun lepas dan 26 Mei tahun ini secara atas talian untuk berbincang mengenai reka bentuk jambatan yang disediakan oleh Malaysia.

"Setelah dua kali bermesyuarat, pihak Thailand memaklumkan mereka bersetuju dengan rekabentuk konsep jambatan yang disediakan oleh Malaysia," katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata cadangan pembinaan Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai akan dikemukakan kepada kabinet bagi mendapatkan halatuju memandangkan pihak Thailand telah mengemukakan reka bentuk bagi projek itu kepada Malaysia pada tahun 2016.

"Projek ini memerlukan perbincangan lanjut dengan agensi pusat, kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kerajaan Negeri Kelantan," katanya.

-- BERNAMA