KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menegaskan bahawa reka bentuk dan pembangunan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) adalah yang terbaik, selamat serta berkesan.

Sehubungan itu, kenyataan yang mengatakan PADU dibangunkan menggunakan kaedah lapuk adalah tidak wajar, semberono dan jauh daripada fakta.

DOSM berkata PADU bukan hanya digunakan sebagai medium pengemaskinian data, malah ia berupaya melaksanakan pelbagai fungsi utama berbentuk analitikal serta melangkaui skop transaksi dan kemas kini data.

"Perincian sistem dan seni bina PADU juga tidak didedahkan kepada umum, maka kenyataan bahawa kaedah pembangunan sistem PADU ini lapuk adalah tidak berhemah," kata jabatan itu dalam satu kenyataan, malam ini.

DOSM menambah PADU adalah inisiatif terkini kerajaan untuk mewujudkan satu pangkalan data yang menjadi rujukan tunggal kebenaran (single source of truth) dalam mengukuhkan pelaksanaan program dan penggunaan sumber kewangan negara bagi kesejahteraan rakyat.

Dalam membangunkan sistem ini, pasti ia telah menentukan objektif yang ingin dicapai meliputi dimensi pengintegrasian data daripada pelbagai sumber (contohnya, pelbagai pangkalan data kerajaan, data banci/survei yang dilaksanakan oleh DOSM secara berkala dan pengemaskinian kendiri secara dalam talian oleh rakyat), dimensi analitik dan keselamatan, katanya.

Dalam pembangunan sistem itu, jabatan itu berkata terdapat elemen yang perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira ketersediaan piawaian data, struktur, liputan, konsep dan definisi yang digunakan di pelbagai agensi pembekal data.

Seterusnya tambah DOSM, dengan aspek pemetaan dan pendataan yang perlu dilaksanakan, maka sistem itu bakal menghasilkan pangkalan data yang jitu dan menjadi aset strategik negara.

"Pembangunan sistem PADU yang dilaksanakan secara in-house telah berjaya mengambil kira keperluan yang dinyatakan dan pastinya teknologi terkini, kaedah dan reka bentuk merupakan teras kepada pembangunan sistem ini yang berpaksi kepada kebijaksanaan dan ketelitian.

"Penggunaan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) adalah antara mekanisme penting dalam sistem PADU ini dan akan terus ditingkatkan berdasarkan dinamika, kompleksiti dan ketersediaan pangkalan data di pelbagai agensi," kata DOSM.

DOSM berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik seorang pakar keselamatan siber yang mendakwa pembangunan PADU menggunakan kaedah "lapuk" (outdated) dan ia boleh menggugat integriti data (compromising its data integrity).

Selasa lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendedahkan terdapat lebih dua juta percubaan setiap hari untuk mengakses data yang terdapat dalam PADU pada bulan pertama pelaksanaan sistem tersebut, bagaimanapun cubaan berkenaan yang dikesan dari luar negara berjaya dipatahkan dan masih gagal ditembusi setakat ini.

Setakat semalam, pendaftaran PADU menunjukkan peningkatan kepada 9.24 juta berbanding 8.79 juta pada Rabu, dan tarikh akhir pendaftaran ialah pada Ahad ini.


-- BERNAMA