KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa merekodkan kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seseorang individu dalam aplikasi MySejahtera.

Rekod berkenaan kemudian boleh dijadikan rujukan sebelum penguat kuasa mengeluarkan kompaun RM10,000 bagi kesalahan berulang dilakukannya, kata pakar kesihatan awam, Profesor Madya Dr Malina Osman.

“Seperti yang saya dimaklumkan, denda RM10,000 lebih tertumpu kepada mereka yang masih berdegil dan gagal mematuhi SOP selepas dinasihat berkali-kali.

“Kita beri peringatan dan amaran dahulu, baru kita kenakan denda. Namun, sebarang rekod itu perlu ada dalam MySejahtera supaya (ada bukti rekod lampau) individu berkenaan," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Dr Malina, yang merupakan pakar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi cadangan berkenaan ketika mengulas mengenai ketidakpuasan hati segelintir masyarakat terhadap peningkatan jumlah kompaun.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kompaun maksimum itu tertumpu kepada individu yang melakukan kesalahan berulang kali atau membuat kesalahan yang dikategorikan sebagai berat.

Terbaru, Ismail menegaskan bahawa polis tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah kompaun yang dikenakan, sebaliknya individu yang dikompaun perlu membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah.


Kompaun PKP | Tunjuk bukti rekod kesalahan sebelum dikompaun

Tegas Dr Malina, penguatkuasaan peraturan harus disampaikan dengan jelas kepada umum supaya tidak berlaku kekeliruan dan ketidakpuasan hati.

Beliau turut menasihatkan agar mekanisme penguatkuasaan dijelaskan kepada pihak yang didenda serta pihak berkuasa yang mengenakan denda.

Pada Sabtu, seramai 109 individu termasuk pengunjung dan pengurus sebuah pusat hiburan dikenakan kompaun berjumlah RM1.13 juta secara keseluruhan, sekali gus menjadi jumlah kompaun terbesar di seluruh negara, sejak Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021 berkuat kuasa pada Khamis.