SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan tiga tercedera akibat ditikam menggunakan pemutar skru oleh seorang lelaki tidak dikenali yang dipercayai cuba memecah masuk rumah mangsa di Seksyen 23, sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.10 tengah hari semasa mangsa tinggal berdua bersama abangnya yang berusia 17 tahun.

"Kejadian berlaku apabila mangsa ke dapur untuk minum air tiba-tiba terserempak dengan suspek disyaki seorang lelaki tempatan yang ketika itu bersembunyi di tepi mesin basuh.

"Lalu berlaku pergelutan dan mangsa telah ditikam dengan menggunakan pemutar skru di bahagian perut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mendapati suspek masuk melalui pintu bahagian belakang kediaman berkenaan yang tidak berkunci dipercayai untuk mencuri.

"Suspek hanya bersenjatakan sebatang pemutar skru yang disyaki bertujuan untuk mengumpil pintu rumah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mangsa mengalami luka kecil di bahagian perut dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.

"Mangsa dalam keadaan stabil dan pemeriksaan ultrabunyi serta imbasan-CT gagal menemui sama ada luka kecil itu menembusi usus mangsa ataupun tidak.

"Pihak Hospital berurusan dengan keluarga mangsa untuk mendapatkan persetujuan membuat pembedahan kerana mangsa pernah menjalani pembedahan apendiks di bahagian sama," jelas beliau.

Sehubungan itu, Mohd Iqbal berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kertas siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Zulkifli Mohamad di talian, 01116958529 atau tampil ke balai berhampiran," ujar beliau. - Sinar Harian