BALING: Mayat remaja lelaki berusia 15 tahun yang tenggelam ketika mandi bersama lapan rakannya di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil ditemukan pasukan bomba pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat Muhammad Fakhrullah Mohamad ditemui di lokasi yang sama mangsa dikhuatiri tenggelam pada jam 10 pagi tadi.

“Mangsa ditemui tersangkut pada akar pokok dalam air dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pasukan bomba telah berjaya menaikkan mayat ke tebing sungai.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, mayat mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang melakukan pencarian di dasar sungai berkenaan.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, remaja lelaki 15 tahun dikhuatiri lemas selepas tenggelam ketika mandi bersama lapan rakannya di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil petang Selasa.

Operasi SAR disertai pelbagai agensi penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), BBP Baling, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sejak petang semalam di lokasi mangsa dilaporkan tenggelam.