Skip to main content

Malaysia

Remaja maut dipercayai terjatuh dari tingkat 68 Komtar

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto JBPM
Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 68 bangunan Komtar, petang tadi. - Foto Sinar Harian
Advertisement

GEORGE TOWN: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 68 bangunan Komtar di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada 4.05 petang.

"Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa ialah seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun yang berasal dari kawasan Macallum. Mangsa ditemukan di atas bumbung aras enam bangunan Komtar dalam keadaan berpakaian lengkap.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selain hampir keseluruhan anggota badannya mengalami kecederaan serius akibat impak terjatuh dari tempat tinggi," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Beliau berkata  kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (LMM) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang PgKB I Jamil Abdullah @ Othman berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4.17 petang bagi membantu menurunkan mangsa.

"Lima anggota naik ke bumbung untuk menurunkan mangsa menggunakan tali dan pengusung. Operasi agak mencabar berikutan keadaan bumbung yang licin selepas hujan, namun mangsa berjaya diturunkan pada 5.55 petang," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement