KUALA LUMPUR: Seorang remaja berusia 18 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipandunya hilang kawalan dan terbalik beberapa kali di Jalan Kinabalu di ibu negara awal pagi tadi.

Nahas berlaku kira kira jam 2.45 pagi melibatkan tiga kenderaan iaitu Toyota Hilux, Honda HRV, Honda CRZ Hybrid.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan awal mendapati remaja berkenaan memandu kenderaan Toyota Hilux itu dari arah pusat bandar menghala ke Jalan Kuching.

Pemandu dipercayai telah terbabas ke pembahagi jalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kenderaan Honda HRV dan Honda CRZ Hybrid.

Akibat pelanggaran tersebut, pemandu Toyota Hilux yang bekerja sebagai penjual ikan telah mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Pemandu kenderaan Honda HRV berusia 32 tahun mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan, manakala pemandu Honda CRZ Hybrid berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 411 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik, Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260247/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.