Seorang remaja perempuan maut, manakala rakannya parah selepas motosikal mereka bertembung dengan lori membawa muatan balak semasa pulang dari sekolah di Kilometer 14, Jalan Benta-Jerantut di Lipis, kira-kira 200 kilometer dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata kejadian pada 2 petang itu menyebabkan Nurin Nadhirah Ikhwan Nassir, 16, yang membonceng motosikal Honda Ex-5 maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mangsa merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Garang Abdul Samad di Kuala Lipis.

"Kejadian dipercayai berlaku selepas motosikal dibonceng mangsa cuba memotong sebuah motosikal lain menyebabkan ia masuk sedikit ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori secara berdepan.

"Kemalangan juga menyebabkan penunggang motosikal iaitu remaja perempuan berusia 15 tahun parah," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Azli berkata jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA