NATIONAL
Reman suspek bunuh kucing disambung hingga Khamis

Mahkamah melanjutkan tempoh tahanan reman selama tiga hari lagi terhadap dua lelaki yang membunuh kucing. -Gambar fail
Mahkamah Majistret Selayang melanjutkan tempoh tahanan reman selama tiga hari lagi terhadap dua lelaki berhubung kes bunuh kucing bunting yang dimasukkan ke dalam mesin pengering di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria minggu lalu.
Penolong pendaftar mahkamah, Hasliza Razak mengeluarkan perintah reman hingga Khamis selepas membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman kedua-dua suspek.
Jumaat lalu, dua lelaki berkenaan direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan membunuh haiwan.
Kedua-dua lelaki mereka ditahan di sekitar Gombak pada awal pagi Jumaat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Gombak berdasarkan risikan polis selain maklumat orang ramai.
Bagaimanapun, seorang lagi suspek masih bebas dan sedang diburu.
Bangkai kucing berkenaan ditemui seorang pelanggan pada jam 10.30 pagi ketika ingin menggunakan mesin pengering itu sebelum sebuah pertubuhan membela haiwan bertindak melaporkan kejadian kepada polis.
Tindakan mereka yang dirakam CCTV premis berkenaan dan menjadi tular di media sosial mendapat kecaman masyarakat yang berharap agar hukuman berat dikenakan kepada pelaku.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami