GOMBAK: Aliran trafik di lebuh raya dekat Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur masih dilihat bergerak lancar dan terkawal, setakat petang ini.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari'at berkata,  berdasarkan semakan dengan beberapa syarikat konsesi lebuh raya, pergerakan kenderaan untuk merentas negeri di lebuh raya utama di negeri ini dijangka meningkat 15 hingga 20 peratus pada hujung minggu ini.

“Kerajaan telah membenarkan rentas negeri dalam fasa Pelan Pemulihan  Negara (PPN) bermula Isnin (11 Oktober).

“Jadi hari ini kita menjangkakan ada pergerakan yang agak besar seperti elemen-elemen JSPT yang saya gerakkan di Negeri Selangor, sehingga jam sekarang (petang), pergerakan atau aliran trafik di seluruh Negeri Selangor di laluan dan lebuh raya utama berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di Plaza Tol Gombak, di sini hari ini.


Balik Kampung | Aliran trafik masuk ke Kelantan terus meningkat

Mengulas lanjut, Azman berkata pemeriksaan secara rambang turut dilakukan oleh pasukan JSPT Selangor terhadap pengguna jalan raya bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Tambah beliau, pihaknya akan turut mengadakan pemeriksaan rawak di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) sekitar negeri ini.

“Pemeriksaan rambang kita buat dan setakat ini semua yang bergerak memang telah divaksin dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau menasihati pengguna jalan raya yang mahu merentas negeri sama ada untuk pulang ke kampung halaman atau tujuan pelancongan agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

Kerajaan pada Ahad lalu bersetuju membenarkan aktiviti rentas negeri di seluruh negara berkuat kuasa 11 Oktober.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini mencapai 90 peratus.

Sebelum ini media melaporkan, lebih 50,000 kenderaan perantau dan pelancong domestik dijangka merentas negeri masuk ke Kelantan menjelang hujung minggu ini.