KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan bahawa kebenaran rentas negeri untuk aktiviti pelancongan hanya dibenarkan melalui Gelembung Pelancongan Langkawi buat masa kini. 

Menerusi satu kenyataan, MOTAC memaklumkan kebenaran itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sementara itu, pelancong domestik adalah dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan Intra-State (dalam negeri yang sama) bagi negeri-negeri yang berada dalam Fasa 2 dan ke atas berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kebenaran untuk melakukan aktiviti pelancongan adalah tertakluk kepada SOP yang telah diwartakan oleh pihak MKN," memetik kenyataan tersebut.

Kenyataan itu merujuk kepada Sidang Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September lalu.

Perdana Menteri telah menyatakan bahawa kerajaan akan membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan  pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dengan syarat negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa seluruh negara berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Susulan itu, kerajaan akan membuat pengumuman rasmi sebaik sahaja mendapat suatu tarikh yang bersesuaian.

Berdasarkan rekod melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID19 (JKJAV), sehingga 28 September 2021, sebanyak 85.1 peratus populasi dewasa telah lengkap divaksinasi.