MALAYSIA
Representasi wanita gugur tuduhan miliki pistol ditolak, bicara 6 Okt ini

Mahkamah menetapkan 6, 7, 8, 13 dan 17 Oktober ini untuk perbicaraan kes Sharifah Faraha yang diwakili peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim. -Gambar hiasan
KUALA SELANGOR: Pihak pendakwaan negeri Selangor menolak representasi dikemukakan seorang wanita bagi menggugurkan pertuduhan memiliki sepucuk pistol yang dipercayai dibekalkan kepada warga Israel.
Ringkasan AI
- Pendakwaan negeri Selangor menolak representasi seorang wanita, Sharifah Faraha Syed Husin, untuk menggugurkan pertuduhan memiliki sepucuk pistol yang dikaitkan dengan warga Israel.
- Mahkamah menetapkan perbicaraan pada Oktober dan pihak pendakwaan akan memanggil 10 saksi, manakala suami tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan atas pertuduhan berkaitan.
- Kes ini berkait dengan penahanan warga Israel, Avitan Shalom, yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan memiliki peluru dan senjata api di sebuah hotel di Jalan Ampang.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 6, 7, 8, 13 dan 17 Oktober ini untuk perbicaraan kes Sharifah Faraha yang diwakili peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim.
Muhammad Azamuddin ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu Bernama bahawa pihaknya akan memanggil 10 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.
Pada 8 April 2024, Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 8 malam, 29 Mac 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 5 Jun lepas, suami kepada wanita itu, Abdul Azim Mohd Yasin, 44, telah mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya pada 5 Jun lepas dan mahkamah sama telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan enam sebatan.
Mengikut pertuduhan, Abdul Azim didakwa ada bersama Sharifah Faraha dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah, bahawa dia tahu isterinya itu memiliki senjata api berkenaan pada lokasi, tarikh dan masa sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman serupa.
Sebelum ini, seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada 26 Februari lepas selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 200 peluru dan enam senjata api.
Avitan, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini antara 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami