Skip to main content

Malaysia

Residu loji air jadi bahan bata simen komersial, bantu pulih 9 juta liter air sehari

BUKIT MERTAJAM, 19 Julai -- Alam Aliran Kualiti (M) Sdn Bhd (AAK) menjadi syarikat pertama di Malaysia mengolah residu loji rawatan air yang diklasifikasikan sebagai bahan buangan berjadual (SW204) kepada bahan mentah bagi penghasilan bata simen, sekali gus memperkenalkan penyelesaian berteraskan ekonomi kitaran._BERNAMA
Pekerja menyusun bata simen yang siap diproses daripada bahan buangan loji rawatan air. - Gambar Bernama
Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Di sebalik timbunan residu loji rawatan air yang selama ini dianggap sebagai bahan buangan, tersimpan potensi untuk diolah sebagai produk pembinaan bernilai tinggi.

Potensi itu direalisasikan Alam Aliran Kualiti (M) Sdn Bhd (AAK) bersama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) apabila berjaya mengolah residu loji rawatan air yang diklasifikasikan sebagai bahan buangan terjadual (SW204) kepada bahan mentah bagi penghasilan bata simen.

Inisiatif berkenaan menjadikan PBAPP sebagai operator air pertama di Malaysia yang melaksanakan model pengurusan residu loji rawatan air berasaskan ekonomi kitaran, manakala AAK pula menjadi fasiliti pertama di negara ini yang mengolah SW204 kepada bahan mentah untuk penghasilan bata simen.

Projek itu dilihat bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sisa, malah membuktikan bahan buangan yang sebelum ini dianggap tidak bernilai boleh ditransformasikan menjadi produk komersial berkualiti tinggi melalui teknologi dan pengurusan yang mampan.

Ketua Projek AAK, G. Karthigayan berkata, teknologi tersebut dibangunkan hasil kerjasama strategik dengan PBAPP bagi menangani cabaran pengurusan residu daripada loji rawatan air secara lebih lestari.

“Matlamat kami bukan sekadar membantu operator air menguruskan residu dengan lebih cekap, tetapi mengubah persepsi bahawa sisa daripada loji rawatan air bukan lagi bahan buangan semata-mata.

“Apabila kita mempunyai teknologi, strategi dan kaedah pengurusan yang betul, sisa itu sebenarnya boleh ditukar menjadi sumber yang mempunyai nilai ekonomi. Apa yang sebelum ini dihantar ke tapak pelupusan kini boleh dimanfaatkan semula sebagai produk komersial,” katanya kepada Bernama di kilangnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, proses penghasilan bata simen itu bermula di Loji Penyahairan Sungai Dua (SDDP) apabila residu daripada proses rawatan air diproses menggunakan teknologi belt press bagi mengasingkan air dan pepejal sebelum air yang dipulihkan disalurkan semula kepada PBAPP, manakala pepejal atau enap cemar daripada proses rawatan air dihantar ke kilang pembuatan bata AAK di Bukit Minyak.

Di kilang tersebut, katanya, enap cemar menjalani proses rawatan kimia bagi menghasilkan agregat yang kemudiannya digunakan sebagai bahan mentah dalam penghasilan bata simen menggunakan kaedah konvensional dengan formulasi khas yang dibangunkan syarikat dengan memenuhi standard kualiti setanding bata simen sedia ada.

"Teknologi ini berjaya memulihkan kira-kira sembilan juta liter air sehari (9 MLD) yang sebelum ini dilepaskan ke sungai, sekali gus mampu membekalkan air kepada sekitar 10,000 hingga 12,000 kediaman setiap hari," katanya.

Selain mengurangkan penghantaran sisa ke tapak pelupusan, Karthigayan berkata, bata yang dihasilkan turut mempunyai ketahanan api yang lebih baik berbanding bata simen konvensional berdasarkan ujian yang dijalankan, di samping menggunakan bahan buangan sebagai bahan mentah utama.

Kilang itu mempunyai kapasiti menghasilkan sehingga 150,000 bata sehari, namun pengeluaran semasa sekitar 70,000 hingga 100,000 bata bergantung kepada jumlah enap cemar yang diterima daripada SDDP dan produk tersebut kini telah dikomersialkan serta digunakan dalam pelbagai projek pembinaan, selain dipasarkan di kedai perkakasan sekitar Pulau Pinang.

Beliau berkata, pembangunan teknologi berkenaan mengambil masa hampir lima tahun melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang intensif, selain melalui pelbagai proses penilaian teknikal dan kelulusan daripada agensi berkaitan memandangkan SW204 diklasifikasikan sebagai bahan buangan terjadual di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, produk tersebut telah memperoleh pensijilan ISO 9001 dan kini sedang dalam proses mendapatkan pensijilan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memperluaskan penggunaannya dalam sektor pembinaan.

Karthigayan berkata, projek itu dilaksanakan menerusi model reka bentuk, bina, operasi dan penyelenggaraan (DBOM) dengan kontrak selama 15 tahun dengan semua kos modal, pembinaan, operasi dan pengurusan residu ditanggung sepenuhnya oleh AAK manakala PBAPP bertindak sebagai pemilik projek serta menjalankan audit dan pemantauan.

Pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan beban kos operasi dan pelaburan modal PBAPP, malah memastikan semua aspek pematuhan terhadap pengurusan bahan buangan terjadual, keselamatan dan alam sekitar dipertanggungjawabkan kepada syarikat berkenaan.

Beliau berkata, AAK juga bakal menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Largest Belt Press System Dewatering Plant atas kejayaan membangunkan dan mengendalikan loji penyahairan berkapasiti 10 MLD yang mampu memproses sehingga 450 tan metrik enap cemar sehari.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement