Sijil halal sebuah restoran hotel di sini ditarik balik selepas premis berkenaan didapati menyediakan menu berasaskan daging babi.

Ops Bersepadu melibatkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Taiping pada Khamis itu turut menemukan bahan berupa daging babi di restoran itu.

Hotel tersebut telah melanggar Perkara 4.8 (xv) Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2014.

Disebabkan itu, pengiktirafan Sijil Halal yang diterima restoran hotel tersebut ditarik balik serta-merta untuk tindakan lanjut.

Pengarah JAIPK, Datuk Mohd Yusop Husin berkata pihaknya menasihatkan pemegang sijil halal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Kita nak bagi peringatan kepada mana-mana pengusaha supaya mematuhi arahan yang ditetapkan.

"Begitu juga pengguna kena pastikan premis tersebut ada sijil halal yang sah," katanya sepertimana laporan Sinar Harian.