Ribut landa Melaka, enam murid cedera siling sekolah runtuh

Selain itu, 22 murid turut diberikan rawatan oleh petugas keselamatan ekoran mengalami trauma.

Antara kesan kemusnahan akibat ribut yang melanda Melaka pada pagi Selasa. - Astro AWANI | Astro Awani
Sekurang-kurangnya enam murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, Malim di sini, cedera selepas bumbung kelas di bangunan tiga tingkat sekolah berkenaan diterbangkan angin akibat ribut, pagi Selasa.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak sekolah pada jam 10.17 pagi memaklumkan kejadian.

“Maklumat awal kami terima terdapat enam murid mengalami cedera ringan, luka-luka di kepala dipercayai dihempap siling.

“Manakala 22 murid turut diberikan rawatan oleh petugas keselamatan ekoran mengalami trauma,” katanya.

Kesemua mangsa kini dihantar ke hospital Melaka bagi menerima rawatan lanjut.



Tinjauan Astro AWANI di lokasi kejadian mendapati, kenderaan pasukan keselamatan termasuk bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan siren ambulans juga bertali arus di sekitar kawasan Malim.

Difahamkan, kejadian itu turut mengakibatkan beberapa kawasan perumahan dan premis perniagaan di sekitar kawasan itu.

Pihak berkuasa juga sedang mengenal pasti jumlah sebenar mangsa dan kawasan yang terjejas.

Petugas media juga turut dihalang berada di dalam kawasan sekolah.