Ribut Tropika Senyar: APM Selangor tetap dalam keadaan sedia sepenuhnya

Sebanyak 638 anggota dikerahkan di sembilan daerah seluruh negeri, dengan sokongan 122 aset darat dan air, termasuk pacuan empat roda, lori pemindahan dan bot operasi.
KLANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor tetap berada dalam tahap kesiapsiagaan walaupun selepas Ribut Tropika Senyar yang melanda malam tadi kini melemah kepada tekanan rendah.
Ini kerana fenomena itu masih membawa hujan berterusan yang dijangka berlarutan sehingga Ahad ini.
Menurut Pengarah APM Selangor, Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim, sebanyak 638 anggota dikerahkan di sembilan daerah seluruh negeri, dengan sokongan 122 aset darat dan air, termasuk pacuan empat roda, lori pemindahan dan bot operasi.
“Kita telah menggerakkan semua anggota dan aset di lokasi berisiko banjir. Pasukan sokongan dari zon berhampiran turut diaktifkan bagi memastikan operasi berjalan lancar,” katanya dalam sidang media hari ini.
APM turut mengaktifkan pasukan sokongan melibatkan 47 anggota tambahan serta 50 aset logistik, selain bantuan daripada Pertubuhan Sahabat Pertahanan Awam (PeSPA) yang membabitkan 11 anggota dan 15 pacuan empat roda.
Pusat pemindahan sementara (PPS) turut diaktifkan secara berperingkat, antaranya di Telok Gong, Klang yang menempatkan dua keluarga. PPS baharu juga dibuka di Sepang, dengan angka mangsa masih menunggu pengesahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sehingga kini, daerah Kuala Selangor mencatat PPS tertinggi dengan 11 pusat, diikuti Sabak Bernam, Klang dan Sepang.
APM menjangkakan risiko banjir meningkat susulan hujan antara 200 hingga 300 milimeter dalam tempoh tiga hari, ditambah fenomena air pasang besar yang boleh melambatkan aliran keluar air.
“Orang ramai dinasihatkan berpindah awal apabila diarahkan, mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi, dan mengutamakan keselamatan dengan menutup bekalan elektrik, air dan gas sebelum meninggalkan rumah,” tegas Fazlisyah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


