SHAH ALAM: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) komited untuk terus membantu pengusaha dan pekebun kecil getah, termasuk melalui perancangan kenaikan harga serta pemantauan lebih ketat bagi mengelakkan pengaruh orang tengah yang boleh menjejaskan pendapatan golongan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan RISDA dalam memperkukuh rantaian nilai industri getah demi kepentingan pekebun kecil.
Advertisement
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya komited memperkasa sektor komoditi getah negara, antaranya dengan meningkatkan purata harga belian getah oleh RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) daripada kira-kira RM3 sekilogram kepada RM3.70 sekilogram, sekali gus memperkukuh peranan RPSB sebagai pembeli utama getah tempatan.
“Peningkatan ini adalah hasil usaha RISDA serta mengambil kira harga pasaran semasa secara keseluruhan. Di beberapa kawasan tertentu, harga getah direkodkan meningkat antara RM3.70 hingga RM4.50 sekilogram.
“Ini merupakan satu game changer yang dilaksanakan oleh RISDA dan kita akan terus bersikap proaktif supaya pekebun kecil dapat menikmati faedah serta manfaat yang berpanjangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pasar raya Rissmart Grocer di Kwasa Damansara, pada Ahad.
Dalam pada itu, Zahid turut menegaskan keperluan pemantauan berterusan terhadap peranan orang tengah dalam rantaian pembelian getah, bagi memastikan harga dan pendapatan pekebun kecil tidak terjejas.
“Kita mahu pemantauan berterusan dilakukan supaya orang tengah tidak mengganggu dari segi struktur pembelian dan keuntungan.
“Justeru, pekebun kecil atau penoreh getah yang tidak memiliki kebun sendiri juga dapat menikmati faedah daripada program yang dilaksanakan oleh RISDA,” katanya.