KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.22 bilion kerugian direkodkan berpunca daripada jenayah penipuan dalam talian sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah itu melibatkan 34,497 kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 12,851 kes dituduh di mahkamah.

"Berdasarkan statistik tahun 2023, kes penipuan jenayah telekomunikasi seperti tipu peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS), tipu penyamaran dalam talian dan tipu panggilan telefon telah mencatatkan kes tertinggi berbanding kes-kes yang lain.

"Kes-kes ini sahaja merekodkan 10,348 kes dengan kerugian berjumlah RM352.9 juta dengan  3,057 kes dituduh di mahkamah," katanya di Dewan Negara di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada soalan Senator Manolan Mohamad berhubung langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi isu scammer yang mengakibatkan kerugian dan kehilangan wang dalam akaun simpanan kepada mangsa penipuan sehingga ia menjadi masalah yang serius dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar menambah, sebanyak 6,434 kertas siasatan telah dibuka melalui panggilan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

"'Sepanjang tahun 2023, sebanyak 6,434 kertas siasatan telah dibuka melalui panggilan NSRC dengan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM105 juta.

"Daripada jumlah itu, 17.5 juta berjaya disekat sebelum dikeluarkan  penjenayah manakala RM178,407.93 jumlah sitaan telah berjaya dipulangkan kepada mangsa," ujarnya.

Selain itu, Shamsul Anuar berkata, pelbagai usaha dijalankan PDRM dalam mengekang jenayah penipuan dalam talian termasuklah dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan seterusnya menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam penipuan.

Antara inisiatif PDRM dalam memerangi jenayah penipuan dalam talian antara lain ialah menyediakan perkhidmatan portal 'Semak Mule' bagi membolehkan masyarakat membuat semakan nombor  akaun bank dan nombor telefon yang terlibat dengan siasatan pihak polis.

Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) turutmenyediakan perkhidmatan CCID Infoline (013-2111222) untuk masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan penipuan dan jenayah komersial.

JSJK juga telah mewujudkan platform media sosial (Facebook, Instagram dan TikTok) JSJK PDRM serta Cyber Crime Alert untuk menyampaikan maklumat dan info semasa mengenai scam.

PDRM juga menjalankan usaha sama dengan agensi swasta untuk mengenal pasti nombor-nombor telefon yang telah disenarai sebagai scammer oleh pihak penguat kuasa, selain melaksanakan kempen-kempen kesedaran masyarakat secara berterusan.