Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan RM1.7 juta untuk membantu membina semula rumah penduduk miskin yang musnah dalam kebakaran pada tahun ini.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata peruntukan itu pertama kali diluluskan oleh kerajaan secara khusus kepada kementerian itu bagi tujuan tersebut.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan diberi tanggungjawab bagi melaksanakan kerja membina rumah terbabit secara gotong-royong dengan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan tilam dan bekalan makanan kepada lima ketua keluarga membabitkan 27 orang mangsa untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan banjir pulih.

Noh berkata syarat untuk mendapatkan peruntukan tersebut ialah mangsa tidak mendapat perlindungan insurans daripada mana-mana syarikat insurans.

Beliau berkata pembelanjaan membina setiap rumah juga tidak melebihi peruntukan sebanyak RM40,000.

Dalam pada itu, beliau memberikan penghargaan kepada anggota JBPM yang telah bertungkus lumus dalam melaksanakan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan di negeri yang dilanda banjir.

"Mereka telah benar-benar mentransformasi kerja menyelamat bukan sahaja di darat (kebakaran) tetapi juga kerja menyelamat di air," katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique, Anggota Dewan Undangan Negeri Semerak, Datuk Zawawi Othman dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

-- BERNAMA