BUKIT MERTAJAM: Sebanyak RM100,000 berjaya dikumpulkan bagi menampung kos rawatan kanser isteri pemuzik jalanan orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Robert Maidin, yang mengumpul dana berkenaan menerusi persembahan muziknya.
Perkara itu dikongsikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menerusi hantaran di Facebooknya yang memaklumkan lebih RM46,000 berjaya dikumpulkan melalui konsert mini yang dianjurkan di Jit Sin Independent High School manakala bakinya ditambah sendiri oleh Sim.
Sim yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, konsert itu dianjurkan dalam tempoh hanya empat hari selepas mendapat tahu Robert yang mesra dengan panggilan Uncle Robert sedang berusaha mengumpul dana untuk rawatan isterinya.
“Orang Penang (Pulau Pinang) mesti kenal Uncle Robert yang dah bertahun-tahun busking di depan Gurney. Semasa di China, saya dapat tahu Uncle Robert sedang kumpul duit untuk rawatan kanser isterinya.
“Terus saya minta pasukan buat konsert mini di Jit Sin Independent High School. Dalam masa empat hari saja, lebih RM46,000 berjaya dikumpulkan dan selebihnya saya tambah. Terima kasih semua yang hadir dengar persembahan Uncle Robert dan sama-sama bantu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Sim turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang hadir menyaksikan persembahan Uncle Robert dan menyumbang bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
Beliau berkata, kehadiran sama ada seribu penonton atau seorang tidak mengubah tujuan Uncle Robert bermain muzik, iaitu untuk insan yang sama dan wanita yang dicintainya.
“Tengok Uncle tersenyum sepanjang konsert, susah kami nak bayangkan cabaran hidup Uncle. Itulah Uncle Robert yang kita kenal di Gurney tetap tersenyum dan menghiburkan kita, walau berat dugaan sendiri.
“Saya doakan rawatan isteri Uncle Robert dipermudahkan. Terus hiburkan kami dengan muzik dan kasih sayang Uncle. Busking teruih, Uncle Robert!” katanya.
Sebelum ini, Sim tampil membantu Robert mengumpul dana bagi menampung kos rawatan isterinya yang menghidap kanser, menerusi persembahan muzik.
Beliau tersentuh dengan kecekalan lelaki itu menyara isterinya yang sedang menjalani rawatan kanser payu dara yang kini merebak ke paru-paru, dan mahu membantu Robert terus mencari pendapatan menerusi bakat muzik yang dimilikinya.
Robert mengalami masalah penglihatan sejak kecil dan bergantung kepada muzik sebagai sumber pendapatan sejak bertahun-tahun, beban kewangan keluarganya meningkat selepas rawatan kemoterapi isterinya ditambah daripada tujuh kepada 20 pusingan, dengan sesetengah ubat berharga antara RM5,000 hingga RM6,000 bagi setiap rawatan.
-- BERNAMA