RM120,000 milik Syed Saddiq, tiada bukti kepunyaan Armada - Peguam

Syed Saddiq hadir ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Pembelaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat bahawa, pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada tidak boleh dikekalkan kerana wang itu milik Ahli Parlimen Muar berkenaan selain tiada bukti ia kepunyaan pihak lain.
Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq, 33, selaku responden berkata, hakim bicara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sepatutnya menentukan sama ada wang itu milik responden atau tidak.
“Jika jawapannya ya, maka tiada sebarang penyelewengan atau pengeluaran wang secara tidak jujur boleh berlaku.
“Hakim Mahkamah Rayuan juga telah membuat keputusan yang tepat apabila mendapati bahawa wang itu sememangnya milik responden,” katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Rayuan telah menyandarkan fakta itu berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-13 (SP13), Rafiq Hakim Razali yang tidak pernah menyatakan wang berkenaan milik Armada, Bersatu, Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) atau dirinya sendiri.
Hisyam berkata, dia juga mengakui wang terbabit dikumpul hasil kutipan dana dan menjadi milik responden untuk kempen pilihan raya peribadinya.
Selain itu peguam berkata, saksi sama memberitahu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa responden terlebih dahulu membelanjakan wang sendiri dan kutipan itu dianggap sebagai bayaran balik.
Justeru katanya, Mahkamah Rayuan mengambil tindakan tepat apabila menyimpulkan bahawa SP13 hanyalah pemegang amanah kepada RM120,000 berkenaan.
“Hakim bicara tidak sepatutnya mensabitkan responden di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
“Pertuduhan pecah amanah dan menyeleweng dana parti terhadap anak muda itu tidak dapat dikekalkan kerana kegagalan pihak pendakwaan membuktikan elemen penting dalam setiap tuduhan.
“Panel Mahkamah Rayuan sebelum ini telah meneliti fakta dan keterangan secara menyeluruh sebelum memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie,” katanya
Bagi pertuduhan pertama pecah amanah RM1 juta pula katanya, pembelaan berhujah bahawa, Syed Saddiq tidak pernah mengarahkan SP11, bekas Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 35, atau SP13 untuk mengeluarkan dana tersebut daripada akaun Armada.
Sebaliknya, keputusan mengeluarkan wang dibuat secara kolektif oleh lima pemimpin tertinggi parti (G5) dalam satu mesyuarat di rumah responden, untuk bantuan COVID-19 dan program kebajikan Ramadan serta Aidilfitri.
Hisyam berkata, bukti menunjukkan bahawa SP13 diarahkan untuk berbincang dengan Exco Armada mengenai jumlah sebenar yang diperlukan untuk program tersebut.
Mahkamah Rayuan juga katanya, tidak tersilap apabila mendapati hakim bicara gagal menimbangkan beberapa aspek penting pembelaan, termasuk percanggahan keterangan antara SP11 dan SP13 berhubung dakwaan bahawa responden mengarahkan pengeluaran RM1 juta itu.
Pendakwaan katanya, turut mengubah pendirian mengenai elemen ‘penyalahgunaan’ dengan tiga naratif berbeza sepanjang perbicaraan.
Hisyam berkata, Mahkamah Rayuan telah menilai keseluruhan keterangan dan mendapati responden tidak mendapat sebarang manfaat kewangan daripada pengeluaran RM1 juta itu, selain tiada bukti bahawa beliau berniat menyebabkan kerugian kepada Armada.
Menurutnya, RM1 juta itu sememangnya diperuntukkan untuk program kebajikan parti, termasuk bantuan pandemik COVID-19 dan sumbangan Ramadan.
“Dapatan Mahkamah Rayuan turut disokong keterangan saksi penting pendakwaan termasuk SP9 Muhammad Daniel Kusari dan SP13 sendiri, yang mengakui dana itu digunakan untuk program parti,” katanya.
Hisyam berkata, Mahkamah Rayuan turut menolak kebergantungan pendakwaan terhadap kenyataan SP13 bahawa responden meminta beliau ‘clearkan’ wang tersebut.
Katanya, Mahkamah Rayuan menghargai hujah pendakwaan tetapi tidak bersetuju bahawa istilah ‘clearkan’ membawa maksud berniat jahat dalam konteks sebenar.
“Berdasarkan alasan kukuh yang dikemukakan, jelas bahawa Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh dirayu.
“Oleh itu, rayuan pendakwaan ini mesti ditolak,” katanya mengakhiri hujah bersama peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Kee Wei Lon, S Devanandan, Low Wei Loke, Lim Wei Jiet, Siti Summaiyah Ahmad Jaafar, Mohammed Khairuzzaman Mohammed Ridha, Ee Gen You dan Nevyn Vinosh Venudran.
Pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib, Farah Ezlin Yusop Khan, Law Chin How, Nurul Qistini Qamarul Abrar, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.
Prosiding itu berlangsung di hadapan tiga panel hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama dua hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


