Skip to main content

Politik

PH tolak keras tindakan 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan - Fahmi

PUTRAJAYA, 22 April -- Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi menyifatkan tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana ia dibuat tanpa mengambil kira kepentingan rakyat dan kesejahteraan negeri secara keseluruhan. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menolak sekeras-kerasnya tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan yang didakwa menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah tersebut cuba membuka ruang perubahan kerajaan negeri secara tidak sihat, sedangkan isu yang dibangkitkan tidak berkaitan dengan prestasi Menteri Besar berkenaan.

Advertisement

"Perkembangan itu dilihat sebagai usaha yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri serta tidak mencerminkan semangat Kerajaan Perpaduan yang menjadi asas kerjasama politik ketika ini.

"Tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana ia dibuat tanpa mengambil kira kepentingan rakyat dan kesejahteraan negeri secara keseluruhan.

“PH menolak sebarang tindakan yang boleh dilihat sebagai usaha mengambil alih pentadbiran negeri melalui cara yang tidak selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Fahmi berkata demikian sebagai mengulas perkembangan politik di Negeri Sembilan kebelakangan ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut juga berlaku pada ketika kerajaan sedang berdepan cabaran ekonomi global serta usaha berterusan untuk mengurus kos sara hidup rakyat.

Situasi itu jelasnya, tidak harus dijadikan asas kepada perpecahan politik yang boleh mengganggu fokus pentadbiran negeri.

Dalam masa sama, PH memberi jaminan bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan kekal berfungsi seperti biasa di bawah kepimpinan sedia ada.

“Kerajaan negeri akan terus berjalan seperti biasa dan PH komited memastikan kestabilan terus terpelihara,” katanya.

PH turut menyatakan komitmen untuk terus memberikan kerjasama kepada pentadbiran negeri demi memastikan kelangsungan pembangunan dan kebajikan rakyat.

Dalam pada itu, Pengerusi UMNO-BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, mempertahankan tindakan menarik sokongan terhadap Aminuddin, dengan menegaskan ia bukanlah satu bentuk “tebuk atap” seperti didakwa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang serta Ahli Parlimen Jelebu berkata, keputusan 14 ADUN UMNO di negeri itu dibuat atas pertimbangan prinsip parti dan tanggungjawab politik yang dipegang.

"Langkah berkenaan turut bertujuan memastikan urusan berkaitan institusi diraja dan adat di Negeri Sembilan tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik mana-mana pihak.

"Tindakan tersebut juga mencerminkan pendirian bersama kepimpinan UMNO-BN negeri dalam menegakkan prinsip yang telah dipersetujui," tegasnya.

 

Must Watch Video