Kerajaan memerlukan sebanyak RM2.2 bilion bagi menyiapkan kerja-kerja pemuliharaaan Cameron Highlands.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Seri Alias Ahmad memberitahu selain usaha pemuliharaan, ia juga membabitkan usaha merobohkan kawasan pertanian haram serta memastikan tiada pencerobohan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Jumlah RM2.2 bilion ini adalah anggaran keseluruhan kos, tetapi ia akan dikaji semula supaya wang dilabur dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Setakat ini, dalam fasa satu, sebanyak 98 kertas siasatan terhadap petani haram telah dibuka dan 83 peratus daripada jumlah 2258.14 hektar tanah pertanian haram yang dibuka telah dirobohkan.

"Untuk fasa dua yang bermula 2 Mei ini, tindakan turut akan diambil kepada penceroboh tanah rizab sungai dan juga rizab jalan oleh Jabatan Kerja Raya," katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pemulihan Cameron Highlands, di sini, hari ini.

Justeru itu, pihaknya mengharapkan kerjasama yang dibentuk sejak Disember 2014, oleh lebih sembilan agensi kerajaan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan dapat mencapai sasaran.

Antara sasaran yang diletakkan bagi Ops Gading ialah penanaman semula 30 peratus kawasan yang diteroka oleh Jabatan Hutan, penguatkuasaan alam sekitar di lebih 35 peratus kawasan, pembersihan sungai dan mendalamkan empangan oleh Tenaga Nasional Berhad serta penyelenggaraan lebih 30 peratus kawasan cerun yang berbahaya.