KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM200 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menyokong usaha memodenkan sektor perikanan tangkapan, termasuk penggantian vesel dan penggunaan peralatan menangkap ikan yang lebih mesra sumber.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, RM100 juta adalah untuk Skim Geran Padanan Penggantian Pukat Tunda Zon B dan Pukat Kenka Dua Bot manakala RM100 juta lagi bagi Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan (PEMACU).
Kedua-dua skim berkenaan dilancarkan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Laman Agrofood Fisheries, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang hari ini.
Menurut DOF, kedua-dua skim memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan di zon pantai, di samping menyediakan pilihan kepada nelayan dan pengusaha vesel untuk menyesuaikan operasi menerusi penggantian vesel, penggunaan peralatan mesra sumber serta penerapan teknologi moden.
“Bagi Skim Geran Padanan Penggantian Pukat Tunda Zon B dan Pukat Kenka Dua Bot, geran disediakan pada nisbah 70:30, dengan 70 peratus ditanggung kerajaan manakala 30 peratus sumbangan pemilik vesel yang layak,” menurut kenyataan itu.
Skim itu meliputi empat skop utama, iaitu perolehan peralatan menangkap ikan mesra sumber, pengubahsuaian vesel bagi pengoperasian di zon yang lebih jauh, penggantian kulit vesel serta pembelian balik vesel.
Sementara itu, Skim PEMACU menyediakan kemudahan pembiayaan melalui kerjasama Agrobank bagi perolehan vesel moden serta pemasangan peralatan mekanisasi dan automasi, dengan tempoh pembiayaan sehingga 15 tahun.
DOF memaklumkan kadar keuntungan ditetapkan tiga peratus bagi pemilik vesel Zon A dan Zon B manakala 3.5 peratus bagi pemilik vesel Zon C, Zon C2 dan Zon C3, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan.
“Selain itu, PEMACU memberi tumpuan kepada perolehan vesel moden untuk pengoperasian di Zon C2 dan Zon C3, termasuk aktiviti perikanan tuna. Ini dijangka dapat meningkatkan pendaratan hasil perikanan kawasan laut yang lebih jauh serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber di kawasan perairan pantai,” menurut jabatan itu.
Sementara itu, Chan berkata kedua-dua skim berkenaan memberi pilihan kepada nelayan dan pengusaha vesel untuk menyesuaikan operasi penangkapan ikan mengikut keperluan sumber serta perkembangan teknologi.
“Kami mahu proses perubahan dalam sektor perikanan tangkapan ini mengambil kira kepentingan nelayan dan keadaan sumber perikanan. Sebab itu kerajaan menyediakan kedua-dua bentuk sokongan ini supaya pemilik vesel mempunyai pilihan untuk menggantikan peralatan, mengubah suai vesel atau mendapatkan vesel baharu mengikut keperluan operasi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata pemodenan operasi melalui mekanisasi dan automasi perlu bergerak seiring dengan pengurusan sumber perikanan bagi memastikan peningkatan produktiviti tidak menambah tekanan terhadap sumber di zon pantai.
Terdahulu, sempena pelancaran itu, pengunjung pameran berpeluang menyaksikan demonstrasi menghiris dan uji rasa tuna sirip kuning yang mengetengahkan teknik pemotongan tuna, dengan ikan seberat 50 hingga 70 kilogram itu adalah hasil tangkapan nelayan dari Labuan, yang menjadi antara kawasan populasi dan laluan tuna di Malaysia.
-- BERNAMA