RM27.66 juta bagi baik pulih perumahan swasta terbengkalai tahun ini

Pemulihan projek-projek terbengkalai rata-ratanya mengambil masa antara 1 hingga 5 tahun berdasarkan kepada kerumitan dan keunikan isu masing-masing. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membelanjakan RM27.66 juta daripada keseluruhan RM28.05 juta peruntukan bagi pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai pada tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata bagi 2026, sebanyak RM25.84 juta diperuntukkan kepada kementerian itu bagi memulihkan sembilan projek perumahan swasta terbengkalai.
"Pemulihan projek-projek terbengkalai ini rata-ratanya mengambil masa antara satu hingga lima tahun berdasarkan kepada kompleksiti dan keunikan isu masing-masing.
"Pelaksanaan pemulihan projek ini akan melibatkan pelantikan agensi pelaksana daripada lembaga-lembaga perumahan negeri serta pelantikan perunding yang akan menyiapkan projek sehingga memperolehi sijil penyiapan dan pematuhan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata antara kriteria yang dibenarkan menggunakan dana kerajaan bagi tujuan baik pulih projek swasta terbengkalai adalah rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah, pembeli melebihi 50 peratus unit yang telah dilesenkan dan kemajuan fizikal projek melebihi 70 peratus.
Mengenai pemerkasaan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Aiman Athirah berkata KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa berusaha menambah baik keperluan pasukan itu antaranya menerusi kenaikan peruntukan geran bantuan kewangan daripada RM3,000 kepada RM5,000 kepada setiap PBS yang aktif pada tahun ini.
Beliau berkata sebanyak RM3 juta pula disediakan bagi pembaikan dan penyelenggaraan balai PBS di seluruh negara serta pembekalan kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) berjumlah RM627,000 dan program pengagihan 50 unit kenderaan yang dilaksanakan secara berperingkat dari 2024 hingga 2026.
Bagi tahun depan, Aiman Athirah berkata peruntukan tambahan RM2.1 juta telah diluluskan bagi memperkasakan pengoperasian PBS yang merangkumi pembelian peralatan dan kelengkapan serta penyediaan latihan dan kursus.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM6,088,856,500 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


