KUANTAN: Kerajaan Pahang memperuntukkan kira-kira RM3.4 juta bagi memperkasakan pembangunan belia secara menyeluruh pada tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, peruntukan itu akan dimanfaatkan untuk memperkukuh pelbagai aspek pembangunan golongan berkenaan termasuk kepimpinan, pendidikan, sukan dan kemahiran.
“Kita nak belia mesti berada dalam program bina keyakinan, kreatif dan inovasi serta ada semangat berpasukan. Mereka mesti menjadi generasi bermanfaat kepada masyarakat
“Saya mahu melihat lebih ramai anak muda Pahang menjadi pencipta teknologi, usahawan digital, atlet bertaraf dunia, pempengaruh yang memberi manfaat, pemimpin masyarakat dan negara,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Festival Belia Pahang, di sini, semalam.
Festival yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara Peringkat Pahang itu berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas di Kompleks Belia dan Sukan Pahang (KOMBES) dengan pelbagai pengisian menerusi 60 program yang dianjurkan.
Menyifatkan pembangunan belia merupakan pelaburan paling penting untuk masa depan negeri itu, beliau berkata, peruntukan bagi Festival Belia Pahang tahun depan akan ditingkatkan kepada RM500,000 berbanding RM400,000 tahun ini.
Sementara itu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang berkata, pihaknya bersedia menggerakkan jentera untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kelak.
Naib Presiden UMNO itu juga berkata, inisiatif berkenaan sudah menjadi amalan BN untuk saling membantu menggerakkan jentera dan tenaga kerja bagi memperkukuh usaha berkempen setiap kali berlangsung pilihan raya di sesebuah negeri.
Sebelum ini, Wan Rosdy dilaporkan berkata, semua kawasan angkat Pahang telah mencapai kemenangan pada PRN Johor dan beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera yang telah berkampung di negeri itu selama 14 hari untuk berkempen.
PRN Johor menunjukkan keputusan positif apabila BN memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
Bagi PRN Negeri Sembilan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.
-- BERNAMA