Jabatan Pertanian memperuntukkan sebanyak RM4 juta mulai tahun ini bagi membendung, mengawal dan menghapus kumbang merah palma (RPW).

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata kumbang tersebut yang mula dikesan sejak 2010, berupaya merosakkan pokok jenis palma seperti kurma, kelapa dan kelapa sawit.

"Kumbang berkenaan dipercayai masuk ke negara ini menerusi pintu sempadan di Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dan telah merosakkan 465 pokok kelapa dan 335 pokok kurma di seluruh negara.

"Jika kumbang itu tidak dikawal, kita bimbang ia akan mengancam jutaan hektar tanaman kelapa sawit di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melawat kebun kurma di Kampung Wakaf di sini, hari ini.

Beliau berkata kumbang berkenaan mengorek masuk ke dalam pokok palma dan memusnah tisu di dalam pokok, menyebabkan batang pokok mudah patah dan musnah dalam masa singkat.

"Berikutan itu, kita telah menempatkan 2,465 perangkap feromon di Semenanjung, dan sehingga kini sejumlah 3,013 ekor kumbang berkenaan telah dapat ditangkap," katanya.

Katanya, jabatan itu akan memperketat Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 untuk menghalang kemasukan pokok palma tidak sah di pintu-pintu masuk di seluruh negara.

"Tindakan pemantauan dan kawalan pada tanaman kelapa dan pokok palma hiasan telah dan sedang dijalankan Jabatan Pertanian di Semenanjung Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengurus Syarikat Madatul Ilmi Sdn Bhd Shamsuddin Mat Daud yang mengusahakan ladang kurma di kampung berkenaan berkata, pihaknya mengalami kerugian kira-kira RM200,000 apabila kesemua tanaman kurma yang diusahakan sejak lima tahun lepas musnah sama sekali akibat serangan kumbang pemusnah itu.