SHAH ALAM: Sebanyak RM4 juta hasil sumbangan orang awam ketika pandemik COVID-19 dan banjir tahun lepas serta RM1 juta dana khas daripada kerajaan Selangor diperuntukkan bagi persediaan menghadapi banjir yang diramal melanda negeri itu pada hujung tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata daripada hasil sumbangan dan dana itu, kerajaan negeri akan menyediakan peralatan yang diperlukan termasuk alatan telekomunikasi seperti telefon satelit sebagai langkah persediaan jika bekalan elektrik terputus atau kemudahan komunikasi tergendala.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di sini hari ini, beliau berkata kerajaan Selangor kini berada pada tahap 80 peratus bersiap sedia bagi menghadapi bencana itu.

"Baki 20 peratus lagi akan diterjemahkan ketika kejadian sebenar yang melibatkan aspek pergerakan ketika operasi mencari dan menyelamat," katanya dengan menambah persediaan juga melibatkan penempatan aset menyelamat di setiap daerah di negeri itu.

Dalam pada itu, mengenai siasatan kes rasuah membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Amirudin berkata pihaknya kini memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan sepenuhnya berikutan sebahagian dakwaan masih bersifat tanggapan.

Beliau juga memaklumkan kerajaan negeri serta MBSA belum mengagihkan kontrak kepada mana-mana kontraktor dalam projek Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD), selain tidak wujud dakwaan yang mengatakan bahawa ada kartel yang memonopoli projek berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Muhamad Shah Osmin berkata Selangor menerima 8,543 unit khemah kubikel daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) secara berfasa sejak Mei lepas.

"Khemah ini telah kami edarkan ke semua daerah di Selangor bagi tujuan mempercepatkan bantuan kepada mangsa banjir sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. Agihan itu berdasarkan kadar risiko banjir mengikut daerah," katanya.

-- BERNAMA