KUALA LUMPUR: Seorang lelaki wajar berbelanja sehingga RM500 untuk kelengkapan hari raya.

Presiden Persatuan Pelajar Ekonomi Perniagaan Selangor (BESSS), Ahmad Ashraff Fahmy Mohd Zulhery Fahmy berkata, ini merupakan kos ideal untuk ditanggung oleh seseorang berdasarkan kepada tawaran pasaran semasa.

“Kadar ideal bagi seorang lelaki untuk berbelanja untuk hari raya adalah sekitar RM200 hingga RM350 untuk baju sahaja.

“Kalau nak tambah songkok atau samping baharu, kos itu boleh naik sehingga RM500,” katanya pada program Dialog Anak Muda pada Jumaat.

Tambahnya, tawaran harga bagi kelengkapan raya yang ada di pasaran ketika ini sebenarnya tidak mesra poket belia dan mahasiswa.

Menurut Ahmad Ashraff Fahmy, jenama-jenama popular meletakkan harga yang terlalu tinggi untuk dikategorikan sebagai mampu milik.

“Pada masa sama, harga yang ditawarkan oleh pelbagai jenama untuk kelengkapan raya sebenarnya bukan mampu milik bagi mahasiswa.

“Tetapi, menyentuh mengenai kehendak membeli ini, ia bergantung sepenuhnya kepada inisiatif mahasiswa itu sendiri untuk bekerja sambilan bagi menambah pendapatan atau menyimpan dari awal,” ujarnya

Rakyat Malaysia ketika ini sibuk membeli-belah sebagai persiapan lebaran yang akan tiba pada minggu depan.

Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Selasa, 9 April 2024 bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijrah dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam berkenaan.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.


Dialog Anak Muda: Poket raya | Cari atau habiskan duit?